
ISU perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi, Kangar perlu diurus dengan berhemah dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan prinsip undang-undang, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad.
Beliau menyeru semua pihak berkaitan bertenang sesuai dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global.
“Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang relatif aman walaupun isu berkaitan kaum dan agama kadangkala mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Sejak Merdeka dan seterusnya pembentukan Malaysia, bapa-bapa pengasas negara kita telah berusaha memastikan hikmah kepelbagaian kaum dan agama termaktub dalam sistem dan dokumen rasmi negara.
“Malah, dalam realiti ketegangan 13 Mei 1969, Rukunegara menegaskan kepentingan perpaduan dan sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.
Noor Amin berkata, isu pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak sah atau bukan milik pihak yang membinanya bukan perkara baharu dan pernah berlaku di lokasi lain, sama ada melibatkan tanah kerajaan mahupun persendirian.
Bagaimanapun, katanya, isu sedemikian tidak seharusnya dijadikan ruang untuk membakar emosi masyarakat atau dipolitikkan.
Noor Amin berkata, satu mekanisme antara agama boleh diperkukuh dengan memanfaatkan peranan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang telah wujud sejak 1983.
“Ia pasti tidak sempurna tetapi boleh menjadi wadah terbaik memastikan hubungan agama dan kaum di negara kita dapat berlangsung dengan lebih baik dan tertib,” katanya.
Beliau berkata, semua agama dan kepercayaan tidak sepatutnya menyokong pencerobohan tanah awam atau persendirian.
Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa boleh memanfaatkan pertemuan bersama wakil pelbagai agama bagi memastikan keperluan rumah ibadat yang mencukupi, munasabah dan teratur dapat dipenuhi.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri berkaitan kebebasan beragama.
Terdahulu, isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan bukan untuk membangkitkan sentimen politik atau perkauman, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mohd Asri menegaskan apa yang berlaku dalam proses perobohan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana agenda kepartian atau perkauman melainkan tindakan undang-undang semata-mata.
Beliau menjawab kepada kritikan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengeluarkan kenyataan media mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan.






