Program KOMPAK perkasa kompetensi ketua komuniti di Saribas

DEBAK – Program KOMPAK (Komuniti Prihatin, Aktif dan Kompeten) terus menjadi platform penting dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kompetensi ketua komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program itu memberi pendedahan kepada peserta berkaitan perkembangan semasa, dasar dan inisiatif kerajaan, pembangunan komuniti, kemahiran digital, bantuan kerajaan serta pengurusan komuniti.

Beliau berkata ketua komuniti memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan maklumat serta peluang yang disediakan kerajaan dapat disampaikan dengan tepat dan berkesan.

“Ketua komuniti bukan sahaja perlu memahami keperluan masyarakat di kawasan masing-masing, malah perlu mengetahui dasar, bantuan, kemudahan serta inisiatif terkini yang disediakan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan program KOMPAK di Dewan Perpaduan Debak, hari ini.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan 120 peserta dari seluruh kawasan DUN Saribas yang merangkumi Daerah Kecil Debak, Daerah Kecil Spaoh dan Daerah Pusa.

Menurut beliau, penglibatan peserta daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang membuktikan kesediaan masyarakat untuk terus menimba ilmu, menambah pengetahuan serta mengambil bahagian dalam pembangunan komuniti.

Beliau turut menyifatkan pendekatan program yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan sebagai langkah berkesan kerana peserta berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan bantuan, perkhidmatan dan dasar kerajaan.

Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Kebajikan Masyarakat Betong, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Sarawak Service Bahagian Betong dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sarawak (MOTAC).

Beliau berkata pendedahan berkaitan perusahaan homestay dan pelancongan komuniti oleh MOTAC, kemahiran digital, tadbir urus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kesihatan serta kebajikan dapat membantu ketua komuniti melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

“Peserta bukan hanya mendapat pendedahan dalam satu bidang, tetapi memperoleh pengetahuan secara lebih menyeluruh merangkumi aspek pentadbiran, kebajikan, kesihatan, digital dan pelancongan,” katanya.

Beliau berharap ilmu, maklumat dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu dapat dikongsikan semula kepada ahli JKKK, persatuan, keluarga dan masyarakat di kampung masing-masing.

Katanya, hubungan erat antara kerajaan dengan pemimpin masyarakat amat penting bagi membantu mengenal pasti keperluan rakyat serta mencari penyelesaian yang bersesuaian.

Beliau turut berharap Program KOMPAK dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak agensi serta peserta supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada masyarakat.

Program pemerkasaan berkenaan juga selaras dengan Betong Division Administration Strategic Planning 2026–2030 di bawah Pentadbiran Bahagian Betong dalam usaha membentuk kepimpinan komuniti yang prihatin terhadap keperluan rakyat, aktif dalam pembangunan setempat dan kompeten melaksanakan tanggungjawab.

  • Related Posts

    KUSKOP tambah peruntukan RM1 juta untuk lima projek Tamu Desa di Mas Gading

    BAU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan lima projek pembinaan baharu dan naik taraf Tamu Desa di Parlimen Mas Gading.   Menterinya,…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Jerebu makin buruk, empat kawasan di Terengganu catat IPU tidak sihat

    KUALA TERENGGANU – Keadaan jerebu di Terengganu semakin membimbangkan apabila empat stesen pemantauan udara di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. Berdasarkan laporan pada…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

    Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

    KUSKOP tambah peruntukan RM1 juta untuk lima projek Tamu Desa di Mas Gading

    KUSKOP tambah peruntukan RM1 juta untuk lima projek Tamu Desa di Mas Gading

    Jerebu makin buruk, empat kawasan di Terengganu catat IPU tidak sihat

    Jerebu makin buruk, empat kawasan di Terengganu catat IPU tidak sihat

    Jangan tanamkan kebencian, politik mesti membawa rahmah

    Jangan tanamkan kebencian, politik mesti membawa rahmah

    Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

    Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

    AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia

    AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia