
AYER KEROH – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menjadi wadah perjuangan yang merangkul semua generasi, termasuk anak muda dan veteran parti dalam memperkukuh agenda reformasi serta membina negara.
Presiden PKR itu berkata, perjuangan parti tidak seharusnya terhad kepada anggota politik semata-mata sebaliknya perlu melibatkan kelompok masyarakat yang mempunyai aspirasi sama untuk membawa perubahan kepada negara.
Beliau berkata, golongan muda khususnya perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju perjuangan parti dan negara.
“Saya nak rangkul anak muda, rangkul veteran, rangkul rakan-rakan saya yang lain yang mungkin rasa sedikit terpinggir.
“Kalau ada kekurangan, mohon maaf, kembali kepada landasan perjuangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, perkembangan semasa menunjukkan golongan muda masih mempunyai semangat yang tinggi untuk terlibat dalam agenda perubahan, sekali gus membuktikan mesej perjuangan reformasi masih mempunyai tempat dalam kalangan generasi baharu.
Beliau berkata, pertemuannya dengan pimpinan generasi Z baru-baru ini menunjukkan golongan berkenaan mempunyai semangat luar biasa dan bersedia menyumbang kepada perjuangan.
“Saya baru-baru ini di Akademi Jaya, pimpinan Gen Z, luar biasa semangat. Maknanya, kalau mesej kita tidak ada disconnect,” katanya.
Menurutnya, PKR perlu memastikan tidak berlaku jurang antara kepemimpinan parti dengan generasi muda, sebaliknya aspirasi golongan berkenaan perlu didengar dan diterjemahkan dalam agenda perjuangan.
Anwar berkata, perjuangan PKR juga tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mengejar kuasa semata-mata, sebaliknya berteraskan nilai, kemanusiaan dan usaha melakukan pembaharuan.
“Ini bukan parti politik biasa. Parti politik biasa itu nawaitunya untuk kekuasaan. Fokusnya itu kekuasaan, pilihan raya bagaimana nak menang.
“Tapi kalau parti perjuangan dan parti reformasi dan islah, fokusnya itu perjuangan,” katanya.
Beliau berkata, konsep islah atau pembaharuan perlu bermula dengan usaha memperbaiki diri sendiri sebelum perubahan itu dibawa kepada masyarakat dan negara.
“Islah itu bermula sendiri. Ibda’ binafsika, mula perbaiki diri,” katanya.
Anwar berkata, pemahaman, latihan dan pembentukan akhlak dalam kalangan anggota perlu diterjemahkan sebagai asas kepada agenda reformasi supaya perjuangan parti tidak terpisah daripada nilai kemanusiaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan dakwah Islam dan badan kebajikan supaya bersama-sama dalam agenda membina negara.
Katanya, usaha itu bukan sekadar berkaitan kepentingan PKR atau mana-mana parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan negara secara keseluruhannya.
“Saya nak rangkul NGO, badan-badan dakwah Islam, badan-badan kebajikan. Saudara, ini bukan soal parti. Ini soal negara,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama memastikan agenda perubahan dan reformasi dapat diteruskan dengan berteraskan nilai kemanusiaan, integriti serta tanggungjawab kepada rakyat.
Anwar turut menggesa barisan kepemimpinan supaya lebih banyak mendengar suara rakyat dan bersedia melakukan penyesuaian terhadap dasar apabila terdapat kelemahan.
“Dengar, dengar dan bersedia untuk berubah. Bukan mendengar untuk memberi syarahan. Saya mahu kita lebih banyak mendengar,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kepemimpinan parti dan kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat serta memahami aspirasi generasi baharu.
Anwar berkata, PKR perlu terus memperkukuh kedudukannya sebagai gerakan massa yang mengutamakan perjuangan dan amanah rakyat, bukannya sekadar sebuah organisasi yang berorientasikan pilihan raya.
Katanya, kekuatan parti bergantung kepada keupayaannya merangkul kepelbagaian generasi dan kelompok masyarakat untuk bersama-sama membawa perubahan.
Kongres Nasional PKR 2026 berlangsung pada 15 dan 16 Ogos di MITC, Ayer Keroh, dengan tema ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI‘. Kongres itu menghimpunkan lebih 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati.





