Al-Azhar angkat kepimpinan rahmah Anwar, iktiraf pendekatan toleransi Malaysia

PUTRAJAYA – Pendekatan kepimpinan berteraskan rahmah, kesederhanaan dan keharmonian yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Pusat Pengajian tersohor, Al-Azhar Al-Sharif menerusi Facebook rasmi malam tadi menyiarkan beberapa petikan tulisan Anwar yang menekankan nilai toleransi, dialog antara tamadun dan kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk.

Perkongsian itu memaparkan penghargaan Anwar terhadap Sheikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb yang disifatkan sebagai tokoh Islam terkemuka dunia dalam memperjuangkan pendekatan wasatiyyah, keamanan dan dialog antara agama.

Dalam petikan yang dikongsikan, Anwar menyifatkan Imam Besar Al-Azhar sebagai antara tokoh paling lantang menyeru kepada pendekatan kesederhanaan dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Yang Mulia Imam Besar merupakan antara tokoh yang paling kuat menyeru kepada pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam menangani isu-isu semasa. Dalam pertemuan saya dengan beliau, beliau menggesa agar usaha dipergiat untuk memperkukuh perpaduan ummah, mengukuhkan nilai toleransi, saling menghormati, hidup bersama secara harmoni serta memupuk persefahaman antara sesama Muslim dan juga antara Muslim dengan bukan Muslim di negara kita,” tulis Anwar.

Dalam satu lagi petikan, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan mendalam terhadap Sheikh Al-Azhar atas sumbangannya membina jambatan persefahaman antara tamadun dan masyarakat dunia.

“Saya berbesar hati dapat merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, seorang tokoh pembaharu dan pemimpin umat yang dihormati. Pengiktirafan ini turut mencerminkan penghargaan terhadap usaha beliau yang berterusan dalam memupuk dialog dan persefahaman. Walaupun telah berusia 80-an, Dr. Ahmed Al-Tayeb masih aktif mengangkat isu-isu yang melangkaui batas institusi dan zaman, sekali gus membentuk kefahaman kita mengenai keimanan, kewibawaan serta kehidupan bersama dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Facebook rasmi Al-Azhar turut memetik satu lagi kenyataan Anwar yang dimuatkan dalam buku In the Shrine of Imam Tayyib” sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Sheikh Al-Azhar.

“Pada usia 80 tahun, Imam Tayyib masih aktif memperjuangkan isu-isu yang melangkaui sempadan institusi dan batas waktu tertentu, sekali gus membentuk kefahaman yang mencerahkan mengenai keimanan serta kehidupan bersama dalam dunia yang sentiasa berubah.”

Petikan itu dinyatakan sebagai sebahagian daripada artikel yang ditulis oleh Anwar dalam buku yang diterbitkan bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-80 Sheikh Al-Azhar.

Perkongsian oleh platform media sosial rasmi institusi Islam terkemuka dunia itu dilihat sebagai satu bentuk penghormatan terhadap pemikiran dan pendekatan Anwar yang menekankan nilai rahmah, toleransi serta saling menghormati dalam membina hubungan antara masyarakat pelbagai agama, bangsa dan budaya.

Ia sekali gus mencerminkan pengiktirafan dunia Islam terhadap usaha Malaysia di bawah kepimpinan Anwar dalam mengangkat pendekatan sederhana yang mengharmonikan kepelbagaian, selain menjadikan dialog, persefahaman dan keamanan sebagai asas dalam kehidupan bermasyarakat.

Penghargaan yang diberikan oleh Al-Azhar itu turut memperlihatkan bahawa kepimpinan berteraskan rahmah dan nilai kemanusiaan yang dibawa Anwar bukan sahaja dihormati di dalam negara, malah mendapat perhatian serta pengiktirafan daripada institusi Islam paling berpengaruh di dunia.

Related Posts

Zool Amali dakwa UMNO gagal pertahan integriti, gesa tindakan tegas susulan RCI TH

LENGGENG – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zool Amali Hussin mendakwa pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan kegagalan kepimpinan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPR ingatkan larangan penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi

KUALA PILAH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi supaya tidak menggunakan telefon bimbit di saluran mengundi ketika menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok, selain mematuhi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Zool Amali dakwa UMNO gagal pertahan integriti, gesa tindakan tegas susulan RCI TH

Zool Amali dakwa UMNO gagal pertahan integriti, gesa tindakan tegas susulan RCI TH

FKAT dipastikan masuk Visit Sabah tahun hadapan

FKAT dipastikan masuk Visit Sabah tahun hadapan

SPR ingatkan larangan penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi

SPR ingatkan larangan penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi

GP Bahrain di SIC berlangsung sebelah petang

GP Bahrain di SIC berlangsung sebelah petang

Kenyataan itu biadab, hina institusi diraja – KDU Pas Perlis

Kenyataan itu biadab, hina institusi diraja – KDU Pas Perlis

Fahmi seru pengundi pilih pemimpin amanah pada PRN Negeri Sembilan

Fahmi seru pengundi pilih pemimpin amanah pada PRN Negeri Sembilan