
TAWAU – Jabatan Air Bahagian Tawau terpaksa menghentikan sementara Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2 berikutan kejadian banjir yang melanda daerah ini.
Jabatan Air Bahagian Tawau menerusi satu pemakluman di Facebook rasminya memaklumkan, banjir berkenaan turut menyebabkan bangunan loji serta pam LRA Apas Balung dimasuki air.
“Sementara itu, berlaku pengurangan pengeluaran air terawat di LRA Utara dan LRA Cinta Mata berikutan kejadian banjir yang menjejaskan operasi loji.
“Keadaan ini menyebabkan kapasiti pengeluaran air terawat berkurangan dan berkemungkinan memberi kesan kepada bekalan air bagi pengguna di kawasan terlibat, ” menurut kenyataan itu, pada Sabtu.
Menurut Jabatan Air, pihaknya sedang memantau keadaan dan akan menjalankan kerja-kerja pemulihan sebaik keadaan mengizinkan bagi memastikan operasi loji dan bekalan air diteruskan.
“Semua pengguna dimohon untuk menggunakan air secara berhemat dan mengutamakan keperluan penting bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan secara optimum.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Jabatan Air Bahagian Tawau, ” ujar kenyataan sama.






