
MUKAH – Pengguna dinasihatkan agar berwaspada terhadap penjualan lambakan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah pengeboman di pasaran negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, ikan berkenaan sarat dengan sisa bahan kimia letupan yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia.
Menurut beliau, selain meracuni tubuh badan pengguna, aktiviti haram tersebut turut memusnahkan ekosistem marin secara keseluruhan.
“Aktiviti pemboman ini bukan sahaja membunuh anak-anak ikan secara membabi buta, malah memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa puluhan tahun untuk pulih semula.
“Paling membimbangkan, sisa kandungan bahan letupan itu kekal dalam isi ikan. Akhirnya, kita sendiri yang memakan sisa racun bom tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Perairan Laut Penipah pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Hanifah Hajar yang juga Ahli Parlimen Mukah mendedahkan taktik licik pengusaha bot komersial haram yang merompak hasil laut di zon pesisir pantai.
Jelasnya, kumpulan terbabit menggunakan kapal induk peraih bagi membolehkan bot kecil memindahkan hasil tangkapan secara borong di tengah laut.

Tambahnya, taktik itu memudahkan penceroboh melarikan hasil tangkapan secara terus ke negara asing tanpa perlu berlabuh di jeti daratan.
“Pencerobohan berskala besar ini amat menjejaskan kantung rezeki nelayan tempatan kita.
“Saya menyeru komuniti maritim untuk segera melaporkan kehadiran kapal induk ini kepada pihak berkuasa,” tegas beliau.
Sehubungan itu, inisiatif melabuh tukun tiruan jenis penghalang pukat tunda diperkasakan bagi menyekat ruang pergerakan penceroboh, sekali gus memelihara habitat hidupan laut pesisir pantai.






