
SEREMBAN – Tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Pakatan Harapan (PH) yang hanya sebentar pada penggal ini menyebabkan banyak agenda pembangunan belum dapat disempurnakan, justeru Manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 disifatkan sebagai kesinambungan kepada perancangan terdahulu.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, manifesto bertemakan ‘Kekal Harapan’ itu bukan sahaja meneruskan komitmen yang telah digariskan sebelum ini, malah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang diyakini mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Manifesto ini bagus kerana selain meneruskan apa yang telah dirancang sebelum ini, ia turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang boleh memberi impak kepada rakyat.
“Ada sebab mengapa manifesto ini dilihat sebagai satu kesinambungan. Bagi penggal kedua, kami cuma mentadbir selama dua tahun lapan bulan, iaitu kurang daripada separuh penggal,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini, pada Isnin.

Menurutnya, tempoh pentadbiran yang singkat menyebabkan beberapa perancangan kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kalau diibaratkan, kami sedang berlari maraton. Sebelum sampai separuh jalan, kami terjatuh. Jadi PRN ini adalah peluang untuk kami bangun semula dan meneruskan larian maraton itu.
“Sebab itu, bagi saya manifesto kali ini perlu dilihat sebagai kesinambungan kepada manifesto sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, PH berharap rakyat terus memberikan kepercayaan kepada gabungan itu agar segala perancangan yang telah dimulakan dapat diteruskan, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat Negeri Sembilan.
Manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi PH Negeri sembilan itu menggariskan 10 komitmen utama menerusi tema ‘Kekal Harapan’ sebagai tawaran kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Antara fokus utama manifesto itu ialah memperkukuh kestabilan pentadbiran, meningkatkan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperluas peluang pendidikan, menambah penyediaan perumahan mampu milik, memperkasa belia, wanita dan institusi keluarga, memajukan sektor pelancongan, memelihara warisan adat, memodenkan sektor pertanian serta mempertingkat pembangunan infrastruktur dan perpaduan masyarakat.






