JEMPOL – Tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menunggang isu Melayu dan Islam disifatkan semata-mata hanya mahu membina semula pengaruh politiknya selepas kembali aktif bersama parti tersebut.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berpandangan, langkah itu dilihat sebagai usaha Khairy untuk kembali mendapat tempat dalam landskap politik
“Kita biarlah KJ nak mula bertapak semula. Dia keluar agak lama dan nak mulakan balik asas politiknya.
“Jadi dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dia rasa perlu supaya keberadaan dia dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya kepada media selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2, pada Isnin.
Mengulas dakwaan KJ bahawa Kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap isu Melayu, Fahmi menegaskan, isu mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam bukan dimonopoli oleh mana-mana individu atau parti.
“Saya sebagai seorang Melayu sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara yang disebut. Bukan KJ seorang yang tahu pasal isu Melayu.
“Arwah datuk dan arwah nenek saya orang UMNO. Arwah nenek saya orang kuat UMNO dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu serta agama Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu,” katanya.
Fahmi turut menegur KJ supaya tidak membina naratif yang menggambarkan seolah-olah Pakatan Harapan tidak mempunyai pemimpin Melayu Islam.
“Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? Dzulkefly Ahmad bukan Melayu Islam? Amirudin Shari, Aminuddin Harun bukan Melayu Islam?
“Hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap yang kita kata sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat,” katanya.
Beliau turut berpesan agar Khairy tidak terlalu taksub dengan naratif politik sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan rakyat.
“Pesanan saya kepada saudara Khairy, berpada-padalah. Jangan keterlaluan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan pemimpin Melayu Islam dalam Pakatan Harapan semata-mata untuk meraih sokongan politik,” katanya.
Terdahulu, Khairy dilaporkan berkata, kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan memberi mesej kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.





