
SANDAKAN – Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan lanjutan tempoh notis pengosongan penduduk Kampung Gum-Gum daripada sebulan kepada enam bulan bagi membolehkan isu penempatan semula diselesaikan secara teratur.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, seramai 75 pemilik rumah di kampung itu menerima notis berkenaan, manakala 18 lagi melibatkan kawasan berasingan.

“Insya-Allah saya akan menghantar surat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) supaya tempoh notis itu dilanjutkan daripada sebulan kepada enam bulan.
“Langkah ini penting supaya pelaksanaan projek pembinaan Balai Bomba Kategori C yang dijangka bermula selepas pembentangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Pertama pada Oktober nanti tidak terjejas, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di Sandakan, Kinabatangan dan Beluran,” katanyakepada media selepas mengadakan Sesi Dialog Ahli Parlimen Bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Masyarakat Kg Gum-Gum, di Dewan Gum-Gum Batu 16 Sandakan, pada Ahad.
Suhaimi berkata, projek pembinaan balai bomba itu telah diluluskan dengan peruntukan RM17 juta pada tahun ini dan dijangka menerima peruntukan tambahan di bawah Rolling Plan Kedua.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak bagi mewakili penduduk yang terlibat dalam proses perbincangan dengan pihak berkaitan.

Katanya, jawatankuasa itu akan berperanan mengurus cadangan penempatan semula penduduk ke sebuah perkampungan baharu yang dilengkapi kemudahan asas serta diwartakan secara rasmi.
Mengulas lanjut mengenai penerimaan penduduk selepas sesi dialog itu, Suhaimi berkata, sebahagian besar penduduk memahami keperluan projek tersebut walaupun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian.
“Secara keseluruhannya mereka menerima cadangan ini, namun masih ada syarat dan kebimbangan yang perlu diperhalusi, terutama melibatkan penduduk yang tidak berkemampuan membina rumah baharu selepas berpindah,” katanya.

Tambah Suhaimi, pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menerusi Program Rumah SMJ, selain mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon bantuan peruntukan melalui FELCRA dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk membantu keluarga yang terkesan.
Mengulas mengenai cadangan penduduk supaya lokasi pembinaan Balai Bomba dipindahkan ke kawasan lain, Suhaimi berkata, cadangan itu telah diteliti namun didapati akan meningkatkan kos projek.
“Tapak sedia ada merupakan tanah milik kerajaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala pemindahan ke lokasi lain memerlukan bayaran premium tanah yang tinggi.
“Jika dipindahkan, kos projek akan meningkat kerana perlu membayar premium tanah yang bernilai jutaan ringgit. Sebab itu tapak sedia ada dipilih,” katanya.







