
IPOH – Perak dipilih sebagai negeri pertama bagi menggerakkan agenda memperkukuh perpaduan nasional sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha tersebut sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
Katanya, pemilihan Perak amat bertepatan dengan kedudukannya sebagai negeri yang mempunyai nilai sejarah penting dalam pembentukan tamadun awal serta perjalanan sejarah negara.
“Perak bukan sahaja terkenal sebagai lokasi penemuan manusia awal, malah memainkan peranan besar dalam pembentukan sejarah dan identiti Malaysia.
“Ini menjadikannya lokasi paling sesuai untuk memulakan gerakan memperkukuh perpaduan rakyat. Atas sebab itu, kita memulakan gerakan ini di Perak sebelum diperluaskan ke seluruh Malaysia,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) di sini pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan kepimpinan negeri serta lebih 2,000 pengunjung memeriahkan majlis peluncuran tersebut
Menurut Fahmi, perpaduan mesti terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negara.

Fahmi menambah, pelaksanaan program itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang komited memperkukuh perpaduan nasional tanpa mengira kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat.
Katanya, pelbagai pengisian termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) akan diteruskan sebagai platform utama menyemarakkan semangat patriotisme, selain menggalakkan penyertaan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat bagi memupuk semangat kebersamaan dan cintakan negara.
Mengulas mengenai sambutan HKHM 2026, Fahmi berkata, tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dipilih bagi mencerminkan iltizam kerajaan mengangkat nilai perpaduan, ihsan, kesejahteraan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, tema itu menjadi landasan untuk memperkukuh semangat patriotisme, menyemai jati diri serta mengeratkan hubungan antara rakyat berbilang kaum dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran sambutan tahun ini dilaksanakan secara lebih sederhana, berhemah dan optimum dengan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan serta sumber sedia ada tanpa menjejaskan kualiti pengisian dan impaknya kepada masyarakat.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk, kementerian, agensi serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 ini,”ujarnya.




