Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

KUANTAN – Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pilihan menerima wang rasuah berjumlah RM1,000.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Sazlina Safie terhadap Ahmad Amin Khairul Komar, 42, selepas mendapati kesemua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sazlina ketika membuat keputusan itu hari ini memaklumkan, kesemua hukuman penjara yang perlu dijalani tertuduh berjalan secara serentak bermula tarikh sabitan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Amin didakwa menerima wang berjumlah RM1,000 menerusi empat transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun isterinya daripada seorang individu yang mempunyai urusan rasmi dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 3 Oktober 2017 hingga 2 Mac 2018 ketika tertuduh bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

Bagi kesemua pertuduhan terbabit, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan mitigasi, peguam mewakili tertuduh, Melissa Sukri memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum beserta penjara sehari dengan mengambil kira anak guamnya telah menanggung beban kes sejak siasatan bermula pada 2021.

Hujahnya, anak guamnya juga tidak pernah mempunyai rekod disiplin atau tindakan tatatertib sepanjang hampir 20 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia, malah mendapat rekomendasi ketua jabatan untuk kenaikan pangkat.

“Akibat kes ini, tertuduh kini digantung kerja dan mengalami kesempitan ekonomi keluarga.

“Anak guam saya amat menyesal dan berjanji mahu memulakan kehidupan baharu bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang setimpal demi kepentingan awam.

Menurutnya, jumlah RM1,000 tidak seharusnya menjadi ukuran kerana kesalahan menerima rasuah oleh seorang penjawat awam adalah isu integriti yang serius.

“Mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh seperti prinsip dalam kes Pendakwa Raya lwn Woo Chun Fatt [1976] dan Pendakwa Raya lwn Nazri Ismail [2015],” hujahnya.

Selepas keputusan itu, pihak pembelaan memohon penggantungan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya bagi membolehkan rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Melissa memberitahu, permohonan itu dibuat kerana proses penyediaan nota keterangan dan rekod rayuan memerlukan masa sebelum pendengaran di Mahkamah Tinggi dapat ditetapkan.

“Sekiranya penggantungan pelaksanaan hukuman tidak diberikan, ia akan menjejaskan tujuan rayuan sekiranya pada akhirnya hukuman telah selesai dijalani sebelum rayuan diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun, Ezuain Farhana membantah permohonan tersebut dengan alasan tiada keadaan khas dikemukakan bagi membolehkan penangguhan diberikan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Mahkamah menetapkan jaminan dinaikkan kepada RM10,000 bersama seorang penjamin bercagar serta mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh disimpan oleh mahkamah.

Related Posts

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

TAWAU – Isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tidak boleh hanya bergantung kepada penambahan jumlah penempatan di atas kertas, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

SARIKEI – Penduduk di sekitar Sare bakal menikmati tempoh perjalanan yang lebih singkat ke pusat bandar Sarikei menerusi pembinaan laluan alternatif baharu sepanjang 2.7 kilometer yang menghubungkan Jalan Sare dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

  • By Fatin
  • October 7, 2026
Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun