
KUCHING – Malaysia mencatat pelbagai pencapaian membanggakan sepanjang 2025 yang merangkumi aspek ekonomi, pelaburan, pendigitalan dan kepimpinan serantau, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai ekonomi berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, antara kejayaan utama negara ialah rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM426.7 bilion, tertinggi dalam sejarah Malaysia, yang mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata, kejayaan dalam kepengerusian ASEAN turut berjaya memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi, transformasi digital dan kemampanan, selain terus menarik pelaburan strategik dalam sektor semikonduktor, pusat data, tenaga boleh baharu serta kecerdasan buatan (AI).
“Pembangunan digital negara turut diperkukuh melalui peluasan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini mempunyai lebih 1.93 juta ahli, di samping menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi WSIS Prizes 2025.
“Secara keseluruhannya, 2025 memperlihatkan Malaysia mencapai kemajuan signifikan dalam ekonomi, pendigitalan, pelaburan, inovasi, diplomasi dan kepimpinan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kementerian Komunikasi Zon Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Halim, ia sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing, progresif dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau menambah, Kementerian Komunikasi terus mencatat pelbagai pencapaian penting sepanjang 2025, termasuk memperkukuh infrastruktur digital melalui pelaksanaan JENDELA.
“Slein itu, memperluas peranan NADI sebagai hab komuniti digital serta meningkatkan keselamatan dalam talian menerusi kawal selia platform media sosial dan kempen Internet Selamat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kementerian terus memperkasakan komunikasi strategik kerajaan melalui Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), RTM, BERNAMA dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) bagi memastikan penyampaian dasar kerajaan lebih berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Selain itu, tegasnya, pembangunan industri kreatif, pengukuhan penyiaran awam serta peranan aktif kementerian dalam agenda digital sempena Kepengerusian ASEAN 2025 membuktikan komitmen berterusan dalam memacu transformasi komunikasi negara.






