Lebih 219,000 pemegang kad UNHCR berdaftar, kerajaan perketat pengurusan pelarian

KUALA LUMPUR – Seramai 219,472 individu berdaftar dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur sehingga April lalu, namun kerajaan berpandangan angka itu mungkin tidak mencerminkan jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, 66,493 merupakan pemohon suaka manakala 152,979 lagi berstatus pelarian, membabitkan kira-kira 60 negara termasuk Myanmar, Syria, Pakistan, Yaman dan Afghanistan.

“Proses penentuan status pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur tanpa penglibatan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan Malaysia.

“Kerajaan akan terus memperkukuh pengurusan pelarian melalui operasi bersepadu membabitkan agensi keselamatan, penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras ketidakpatuhan migran asing terhadap undang-undang negara.

“Tiga pendekatan utama bagi menangani isu lambakan pemegang kad UNHCR, iaitu penghantaran pulang pelarian secara sukarela ke negara asal (repatriasi), penempatan semula ke negara ketiga (resettlement) dan pengusiran terhadap individu yang gagal mematuhi syarat serta undang-undang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai pengurusan pelarian serta kes penipuan kad UNHCR.

Ahmad Zahid berkata, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) menetapkan Malaysia membangunkan mekanisme pengurusan sendiri tanpa bergantung kepada entiti asing.

Katanya, mekanisme itu memberi tumpuan kepada pengurusan dan penguatkuasaan yang lebih cekap, penyelarasan dasar berkaitan akses kepada kebajikan dan sosial, selain memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, mekanisme berkenaan merangkumi penggunaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebenaran bekerja kepada pelarian yang layak.

“Sistem ini akan digunakan untuk mengurus dan memantau pelarian serta pemohon suaka di Malaysia sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga. Ketika ini, repatriasi dilihat sebagai pilihan yang paling sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dan UNHCR menerusi pendekatan lebih strategik dan komprehensif, termasuk memperkasa mekanisme perkongsian tanggungjawab dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Malaysia juga, katanya, memperluaskan kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa berkaitan migrasi dan kemanusiaan serta menyokong penyelesaian politik yang membolehkan pelarian Rohingya pulang ke negara asal secara sukarela, selamat dan bermaruah.

Related Posts

Kes 30 warga Malaysia ditahan di Pontianak, PDRM bantu siasatan

PEKAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat penahanan 30 rakyat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian. Menteri Dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCMC siasat laporan operasi manipulasi pilihan raya guna AI Claude

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ambil maklum laporan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic berhubung penyalahgunaan model AI Claude. MCMC berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan