
ENAM tahun selepas siasatan bermula dan hampir tiga tahun berdepan perbicaraan yang menjadi perhatian negara, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya menutup episod panjang perjuangan undang-undangnya apabila Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan keputusan membebaskannya sepenuhnya daripada semua pertuduhan berkaitan dana Armada Bersatu.
Keputusan majoriti 2-1 itu bukan sahaja mengakhiri ancaman hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang pernah dikenakan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan, malah menjadi penamat kepada perjuangan yang menurut beliau dilalui tanpa pernah menggadaikan prinsip atau mencari jalan mudah.
Dalam sidang media sejurus keputusan diumumkan, Syed Saddiq yang ditemani ahli keluarga dan pasukan peguamnya tidak dapat menyembunyikan rasa syukur selepas melalui tempoh yang disifatkannya sebagai ujian paling getir dalam hidup.
“Manusia boleh merancang, Allah SWT yang menentukan. Di sebalik setiap ujian, cabaran dan rintangan, ada sebab kenapa ujian itu dibawa ke atas kita,” katanya dalam nada sebak.

Mengimbas perjalanan kes yang bermula sejak peringkat siasatan enam tahun lalu, beliau berkata sepanjang tempoh itu dirinya berpegang teguh kepada keyakinan bahawa kebenaran akhirnya akan terbukti.
“Saya tidak tunduk, tidak takut, tidak guna jalan pintas dan tidak minta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya tidak lakukan kesilapan. Saya pegang kepada prinsip ‘berani kerana benar’,” katanya.
Menurut beliau, perjuangan tersebut bukan sekadar memberi kesan kepada kerjaya politiknya, malah turut menguji ketabahan ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan yang terus memberikan sokongan sepanjang proses perundangan berlangsung.
Syed Saddiq turut menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebagai manifestasi kebebasan institusi kehakiman yang menjadi benteng terakhir rakyat mendapatkan keadilan.
Katanya, pengalaman berdepan sistem perundangan selama enam tahun menyedarkan beliau mengenai pentingnya mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang campur tangan.
“Apabila institusi kehakiman itu bebas dan adil, di situlah ia menjadi tempat terakhir bagi rakyat biasa yang tiada kuasa untuk mendapatkan pembelaan.
“Keputusan hari ini membawa kesedaran dan keinsafan kepada saya untuk terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman, institusi yang menjadikan negara kita hebat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kemenangan itu bukan semata-mata kemenangan peribadi, sebaliknya simbol perjuangan lebih besar untuk memastikan keadilan terus dipertahankan.
“Sejujurnya ini bukan tentang saya, kerana ada beratus dan beribu orang lain yang telah berjuang dan berkorban untuk masa depan negara. Harapan saya, selepas keputusan ini, saya dapat terus menabur bakti kepada negara tercinta,” katanya.
Sepanjang prosiding sebelum ini, Syed Saddiq konsisten mempertahankan bahawa pendakwaan terhadapnya mempunyai kaitan dengan pendirian politiknya.
Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, beliau mendakwa didakwa di mahkamah kerana enggan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu, sambil menegaskan beliau tidak sanggup menggadaikan prinsip demi mengelakkan pendakwaan.
Beliau sebelum ini berdepan empat pertuduhan membabitkan bersubahat melakukan pecah amanah dana Armada, menyalahgunakan harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana parti.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada Isnin menolak rayuan pihak pendakwaan selepas majoriti panel hakim berpendapat tiada kesilapan undang-undang atau prosedur dilakukan oleh Mahkamah Rayuan ketika membebaskan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah membentuk keputusan majoriti, manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, memberikan penghakiman berbeza.
Dengan keputusan itu, episod perundangan yang membayangi perjalanan politik Syed Saddiq sejak enam tahun lalu berakhir secara rasmi, sekali gus membolehkan beliau meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Muar tanpa lagi dibelenggu sabitan jenayah.




