
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Che Mohd Ruzima dan Sequerah menolak rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan serta hukuman terhadap Syed Saddiq, manakala Abu Bakar berpendapat sebaliknya.
Dengan keputusan majoriti itu, Syed Saddiq, 33, kekal dilepas dan dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan yang dihadapinya.

Sebelum ini, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas keputusan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai transaksi.
Penghakiman hari ini dibacakan secara berasingan oleh ketiga-tiga hakim sebelum Abu Bakar memanggil Syed Saddiq ke hadapan panel untuk menjelaskan keputusan majoriti mahkamah.
Abu Bakar berkata, walaupun beliau berpandangan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat sepatutnya dikekalkan, keputusan majoriti dua lagi hakim menyebabkan Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.
“Itulah hak mereka sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dalam sistem keadilan kita. Kami juga manusia biasa. Ada masanya kami sihat dan ada masanya kami tidak sihat. Apabila seorang hakim tidak sihat, penangguhan sesuatu kes boleh berlaku dan ia bukan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Beliau turut berharap Syed Saddiq dapat meneruskan perancangannya selepas keputusan majoriti memihak kepadanya.
Sementara itu, Che Mohd Ruzima menegaskan hakim tidak boleh mempertahankan diri atau menjawab persepsi masyarakat di luar mahkamah serta mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan institusi kehakiman.
Menurutnya, keputusan kes itu sebenarnya telah tersedia untuk dibacakan, namun penyampaiannya ditangguhkan selepas beliau bercuti sakit.
“Sebagai hakim, kami tidak boleh menjawab segala persepsi masyarakat atau mempertahankan diri di khalayak ramai. Oleh itu, pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab,” katanya.
Keputusan rayuan akhir itu pada asalnya dijadual diumumkan pada 30 Jun lalu, namun ditangguhkan susulan cuti sakit Hakim Che Mohd Ruzima.
Sebaik sahaja prosiding berakhir, ahli keluarga serta penyokong Syed Saddiq yang berada di dalam mahkamah memberikan tepukan sebagai tanda sokongan.








