BATU PAHAT – Kerajaan MADANI tidak memilih bulu, malah membantu semua pihak tanpa mengira latar belakang politik sejak memimpin negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bukan sahaja di Johor malah beliau turut membantu negeri lain termasuk dipimpin oleh Pas kerana memikirkan masalah dan kesusahan dihadapi rakyat.
“Di Johor kita bagi berbillion ringgit untuk projek tebatan banjir dengan projek sudah bermula. Di Kelantan pun sama walaupun mereka tidak menyokong saya, tapi kita bantu kerana rakyat susah.
“Sebab apa? Di sana (Kelantan) ramai Melayu…mereka susah perlukan pertolongan, saya bagi (projek tebatan banjir,” katanya ketika berucap pada ceramah “Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan” di Banang Jaya, pada Khamis
Hadir sama Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil dan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Senggarang, Semerah dan Rengit.
Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, mengingatkan pengundi menggunakan peluang sebaik mungkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) demi masa depan anak-anak serta cucu.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, sesebuah negara menjadi aman ada di mana pemimpin tidak mengenepi semua kaum
“Kita mahu generasi ini lebih daripada kita. Kita tuntut perubahan agar negeri (Johor) lebih baik,” katanya.
“Negara kalau mahu aman dan maju, kita jaga semua… Melayu, Cina, India. Tak boleh gaduh lagi dah,” katanya.



