SAREX Ex Limbawan 2026 uji kesiapsiagaan hadapi bencana maritim

KOTA KINABALU – Sebuah kapal penginapan pekerja luar pesisir (Accommodation Work Barge) hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan pelantar terapung FPSO Kikeh ketika proses pemindahan kru, mencetuskan situasi cemas yang menyaksikan seramai 382 pekerja terpaksa diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat berskala besar di perairan Sabah.

Bagaimanapun, insiden itu hanyalah simulasi menerusi Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 yang dianjurkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dengan kerjasama Petronas dan PTTEP Sabah Oil Limited bagi menguji kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana maritim.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia pada Rabu, latihan tersebut merupakan eksesais Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) pertama diadakan di Sabah, menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada 31 agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan rakan industri bagi menguji keberkesanan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

“SAREX Ex Limbawan 2026 dilaksanakan secara serentak di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu sebagai Pusat Koordinasi, Jeti Maritim Sepanggar sebagai Pangkalan Operasi CARILAMAT dan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi simulasi operasi.

“Dalam senario latihan itu, kejadian berlaku ketika FPSO Kikeh sedang menjalani kerja penyelenggaraan menyeluruh apabila sebuah Accommodation Work Barge mengalami kerosakan sistem pemacu (thruster) ketika proses pemindahan kru menggunakan Personnel Transfer Basket (PTB).

“Kerosakan itu menyebabkan kapal berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan FPSO Kikeh, sekali gus mencetuskan insiden MMRO yang memerlukan tindakan segera pelbagai agensi bagi menyelamatkan ratusan kru yang berada di lokasi kejadian,” kongsi kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi memastikan operasi berjalan lancar, sebanyak 19 aset laut dan darat digerakkan melibatkan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia, Petronas, PTTEP Malaysia Asset serta beberapa agensi lain.

“Operasi di lokasi kejadian pula diselaraskan oleh KM Lahad Datu selaku On-Scene Coordinator (OSC) bagi memastikan semua tindakan mencari dan menyelamat dapat dilaksanakan secara pantas, tersusun dan bersepadu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata, latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat menerusi Pelan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) 2022, Prosedur Tetap Operasi Carilamat serta OMSAR Guideline bagi operasi di pelantar minyak.

“Latihan itu juga menjadi platform memperkukuhkan koordinasi, komunikasi dan kerjasama antara semua agensi, selain menguji prosedur operasi standard (SOP), keupayaan aset serta kompetensi anggota dalam mengendalikan insiden kecemasan yang melibatkan ramai mangsa.

“Latihan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia, memahami peranan masing-masing dan mampu bertindak secara pantas, cekap serta bersepadu sekiranya berlaku insiden sebenar di laut.

“Pengalaman dan penambahbaikan yang diperoleh sepanjang eksesais ini akan terus dimanfaatkan bagi memperkukuhkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat negara,” kongsinya.

Mohd Khairulanuar turut merakamkan penghargaan kepada semua 31 agensi yang terbabit atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan SAREX Ex Limbawan 2026, sekali gus memperkukuhkan kesiapsiagaan negara untuk menghadapi sebarang bencana dan kecemasan di perairan Malaysia.

Related Posts

Fahmi Fadzil bakal bergelar Datuk Seri, Seniman Nordin Ahmad dianugerah Datuk

GEORGETOWN – Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mendahului senarai penerima Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Solat Jumaat di surau IOI City Mall hanya kebenaran sementara atas perkenan Sultan Selangor

SHAH ALAM – Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Surau IOI City Mall, Putrajaya adalah bersifat sementara dan telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak September tahun…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Onn pandang serius isu pencerobohan bot pukat tunda, tindakan segera akan diambil

Onn pandang serius isu pencerobohan bot pukat tunda, tindakan segera akan diambil

Trafik sesak ke Johor isyarat rakyat serius tunaikan tanggungjawab pulang mengundi

Trafik sesak ke Johor isyarat rakyat serius tunaikan tanggungjawab pulang mengundi

11.59 malam ini tamat tempoh berkempen PRN Johor – SPR

11.59 malam ini tamat tempoh berkempen PRN Johor – SPR

SPR perkemas persiapan akhir hadapi hari pengundian esok

SPR perkemas persiapan akhir hadapi hari pengundian esok

Kerajaan MADANI utamakan kebajikan rakyat, bukan persepsi politik – Mat Sabu

Kerajaan MADANI utamakan kebajikan rakyat, bukan persepsi politik – Mat Sabu

EAIC syor KDN, JPN semak semula proses naturalisasi pemain Harimau Malaya

EAIC syor KDN, JPN semak semula proses naturalisasi pemain Harimau Malaya