
PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membuat beberapa keputusan penting melibatkan pendidikan tinggi, perlindungan sosial pekerja, perolehan pertahanan negara dan had umur persaraan penjawat awam.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun selepas mengambil kira peranan institusi itu dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan mampu milik.
Bagaimanapun katanya, TAR UMT masih tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan, termasuk mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun selaras dengan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam perkembangan lain, Jemaah Menteri memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi diwajibkan.
“YAB Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengenai isu pertahanan, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan baharu peralatan atau kelengkapan pertahanan dari Norway.
“Jemaah Menteri juga telah meneliti isu terkini tindakan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” ujarnya.
Sementara itu, kerajaan juga memutuskan had umur persaraan penjawat awam kekal pada usia 60 tahun dan tiada keperluan untuk menaikkan had umur persaraan buat masa ini.
Keputusan-keputusan tersebut diumumkan oleh Fahmi selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.



