
MIRI – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan RM9.46 juta bagi melaksanakan 52 Projek Cakna MADANI di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah tersebut, 12 projek telah siap, 13 sedang dilaksanakan, manakala 27 lagi di peringkat prapelaksanaan.
“Inisiatif berimpak segera itu bertujuan memperkukuh usaha mitigasi banjir sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Projek ini merupakan inisiatif yang memberi manfaat segera kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh usaha mitigasi banjir,” katanya selepas meninjau projek berkaitan pada Sabtu.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melakukan lawatan kerja ke Projek Penstabilan Tebing Sungai di Tanah Perkuburan Tab Cinaq, Miri yang bernilai RM134,682.
Projek bermula Mei lalu dan dijangka siap November depan itu melibatkan pembinaan tembok gabion sepanjang 50 meter bagi mengurangkan hakisan dan melindungi infrastruktur kawasan perkuburan.
Selain itu, Fadillah turut mendengar taklimat berhubung kemajuan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri yang menelan kos keseluruhan RM31 juta.
Menurutnya, projek yang bermula pada Oktober 2023 itu mencapai kemajuan 58.11 peratus dan dijangka siap sepenuhnya November ini.

Skop projek tersebut meliputi pembinaan tembok pasang surut, kolam takungan, naik taraf sistem saliran, rumah pam dan pintu kawalan banjir.
Secara keseluruhan, kerajaan Persekutuan melalui PETRA meluluskan 29 projek tebatan banjir bernilai RM3.834 bilion di seluruh Sarawak.
Komitmen itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap risiko banjir selaras dengan aspirasi kemampanan dan kesejahteraan Malaysia MADANI.
Foto: Facebook YB Fadillah Yusof




