BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak politik perkauman yang hanya memecah-belahkan masyarakat dan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata, sepanjang tiga tahun setengah menerajui kerajaan, tidak pernah sekali pun mesyuarat Kabinet membuat keputusan yang menindas kepentingan orang Melayu atau agama Islam seperti didakwa pihak tertentu.
Anwar memaklumkan, walaupun kerajaan dianggotai pelbagai parti termasuk DAP, setiap isu yang dibangkitkan diselesaikan secara rundingan dan saling menghormati tanpa menjejaskan hak mana-mana kaum atau agama.
“Tiga tahun setengah jadi Perdana Menteri, belum sekali kabinet menentang orang untuk melayu. TImbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan lain lain menteri kalau DAP dalam mesyuarat lawan melayu islam okaylah (saya faham) saya pun lawan tapi dia kerjasama.
“Tapi masuk kampung bahaya kalau undi DAP.ini mcm tak masuk sekolah,” katanya ketika berucap pada Program Jom Sarapan Pagi bersama Perdana Menteri di Kedai Kopi Hailam Sri Medan, pada Ahad
Dalam pada itu, Anwar berkata, masih terdapat pihak yang memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa orang Melayu akan terancam sekiranya memberi sokongan kepada DAP, sedangkan dakwaan itu tidak berasaskan realiti.
Beliau menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai politik lapuk yang tidak lagi sesuai dalam masyarakat majmuk Malaysia, apatah lagi rakyat hari ini hidup, belajar dan bekerja bersama tanpa mengira kaum.
“Masuk universiti ada Melayu, Cina dan India. Keluar bekerja pun begitu. Semua hidup bersama. Mengapa masih hendak memainkan sentimen kaum?
“Itu tak boleh itu politik lama dan politik orang besar, kaya tak tahu masalah di bawah harga barang, masalah rakyat bukan masalah yang dibangkitkan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan, isu yang lebih mendesak ketika ini ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, harga barang dan keperluan mencari rezeki, bukannya pertelingkahan kaum yang sengaja dicetuskan untuk meraih sokongan politik.
Menurutnya, sebahagian pemimpin yang memainkan sentimen perkauman tidak lagi memahami denyut nadi rakyat kerana terlalu jauh daripada kehidupan masyarakat biasa.
Anwar turut mengingatkan bahawa perbalahan antara kaum hanya akan menguntungkan segelintir pihak yang berkepentingan, manakala rakyat biasa terus menanggung kerugian.
“Kalau orang Cina marah orang Melayu, orang Melayu marah orang Cina, siapa yang untung? Yang di atas juga untung, sedangkan rakyat terus bergaduh dan akhirnya mereka yang mengaut segala keuntungan,” katanya.




