
MUKAH – Pendidikan pencegahan dadah perlu didedahkan secara agresif seawal di bangku sekolah rendah bagi memutuskan rantaian penularan musuh nombor satu negara itu di peringkat akar umbi.
Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sarawak, Royston Valentine berkata, pendedahan awal itu merupakan strategi ampuh bagi membentuk jati diri kanak-kanak yang konkrit serta berdaya tahan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, tanggungjawab membendung ancaman berkenaan tidak seharusnya diletakkan di bahu agensi penguat kuasa semata-mata.
“Usaha membanteras najis dadah menuntut komitmen kolektif yang melibatkan institusi keluarga, pihak sekolah, pertubuhan masyarakat serta seluruh komuniti.
“Menerusi pendekatan bersama ini, kita mampu melahirkan generasi pelapis berintegriti dan bersih daripada pengaruh gejala sosial,” katanya ketika merasmikan Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak pada Selasa.

Menyentuh mengenai Program Permata Keluarga yang dijalankan serentak, Royston menyifatkan institusi kekeluargaan sebagai perimeter pertahanan asas bagi menyelamatkan anak-anak daripada kancah negatif.
Jelasnya, pemerkasaan peranan ibu bapa membolehkan mereka lebih peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku anak, sekali gus bertindak sebagai perisai daripada ancaman anasir luar.
Terdahulu, program yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menghimpunkan seramai 100 murid Tahap Dua daripada sembilan sekolah sekitar bahagian ini bagi mengikuti modul kepimpinan, disiplin dan pembangunan kendiri.
Ia dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah dengan kerjasama Skuad Antidadah Negeri Sarawak, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, kelab sukarelawan Ajakcut dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah.



