
CYBERJAYA – Empat premis disita kerana meletakkan barangan berkaitan perniagaan di tempat awam di Crystal Ville, dekat sini baru-baru ini.
Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyatakan sebanyak empat Notis Kesalahan (NTK) telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut.
“Operasi ini dijalankan bagi tujuan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang meletakkan kerusi, meja serta barangan perniagaan di petak parkir awam tanpa kebenaran.
“Tindakan ini bertujuan memastikan kawasan awam sentiasa teratur, selamat dan tidak disalahgunakan sehingga mengganggu kemudahan serta keselesaan orang ramai,” kongsinya di media sosial pada Isnin.
Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah peruntukan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barang-barang yang berhubung dengan perniagaan di tempat awam.
Justeru MPSepang menasihatkan semua pemilik premis agar tidak meletakkan kerusi, meja atau sebarang barangan berkaitan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kawasan pentadbiran MPSepang sentiasa teratur, selamat dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.






