KUKUP – Calon Pakatan Harapan (PH), Cheah Chee Hong, mendesak tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah capaian internet yang disifatkan sebagai kritikal di beberapa kawasan dalam DUN Kukup selepas hasil ujian kelajuan rangkaian menunjukkan prestasi yang amat membimbangkan.
Beliau yang merupakan calon bagi kerusi N.56 Kukup, ujian yang dijalankan di lima lokasi utama mendapati kualiti sambungan internet berada pada tahap yang tidak memuaskan sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk serta aktiviti ekonomi setempat.
“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Terminal Bas dan Teksi Kukup yang merekodkan kegagalan DNS dengan bacaan ping mencecah 2,064 milisaat serta jitter 1,516 milisaat, sekali gus menyebabkan sambungan internet hampir tidak boleh digunakan.
“Di Kampung Permas Kelapa pula, ujian mendapati muat naik gagal, manakala bacaan ping dan jitter berada pada paras tinggi dengan kelajuan muat turun yang sangat rendah,” katanya.

Chee Hong memberitahu, situasi sama turut berlaku di Kampung Chokoh Besar apabila rangkaian 4G didapati tidak stabil dengan kelajuan muat naik rendah serta ping dan jitter yang tinggi.
Sementara itu, katanya, di kawasan Jambatan Sungai Pulai, keputusan ujian menunjukkan kelajuan muat turun yang amat rendah selain kegagalan muat naik, sekali gus memberi petunjuk berlaku kesesakan rangkaian atau liputan yang lemah.
“Di Kampung Simpang Kiri pula, purata kelajuan muat turun hanya sekitar 9.81 Mbps dengan kekuatan isyarat yang tidak konsisten, berada dalam julat antara 9.81 Mbps hingga 36.42 Mbps,” katanya.
Menurut Chee Hong, kelemahan infrastruktur digital itu memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat, termasuk menyukarkan penduduk yang bekerja dari rumah, mengganggu pembelajaran dalam talian anak-anak serta menjejaskan operasi perniagaan yang bergantung kepada capaian internet yang stabil.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat-syarikat telekomunikasi mengambil tindakan segera dengan menaik taraf rangkaian 4G di semua lokasi yang terjejas, mempercepatkan pelaksanaan kemudahan 5G dan gentian optik, selain mengemukakan jadual pemulihan yang jelas kepada rakyat.
“Rakyat Kukup membayar bil setiap bulan dan mereka berhak menikmati perkhidmatan internet yang berkualiti serta setimpal dengan bayaran yang dikenakan. Jangan biarkan mereka terus ketinggalan dalam era digital,” katanya.
Chee Hong turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh di Kukup sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat, dengan matlamat memastikan setiap komuniti menikmati akses internet yang pantas, stabil dan berkualiti.




