
KOTA KINABALU – Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari secara fleksibel mulai 1 Ogos 2026 merupakan satu langkah transformasi yang mencerminkan komitmen kerajaan ke arah ekonomi digital.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr Jain Yassin berkata, pelaksanaan HBH berkemungkinan disebabkan tiada atau kurangnya kesan negatif terhadap produktiviti atau kualiti penyampaian perkhidmatan awam selepas pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bermula pada 15 April lepas.
“Dari sudut ekonomi, dasar ini tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk pengurangan hari bekerja di pejabat, sebaliknya sebagai satu pendekatan baharu dalam pengurusan sumber manusia sektor awam yang memberi penekanan kepada produktiviti, kecekapan dan pencapaian hasil.
“Penjawat awam yang mempunyai fleksibiliti tempat bekerja berpotensi mengurangkan masa untuk perjalanan harian, sekali gus mengurangkan keletihan fizikal dan tekanan psikologi.
“Masa yang dijimatkan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan fokus terhadap tugasan, pembangunan kemahiran atau keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan,” ujarnya kepada wartawan The Malaysia Press pada Sabtu.
Manfaat ekonomi isi rumah
Menurut Jain, dari sudut isi rumah, manfaat ekonomi juga tidak boleh dipandang ringan di mana penjawat awam yang bekerja dari rumah beberapa hari seminggu berpotensi mengurangkan kos perjalanan terutamanya bahan api, tol, parkir dan penyelenggaraan kenderaan.
“Walaupun begitu, ia tetap akan memberi kesan kepada peningkatan kos operasi di rumah, khususnya melibatkan penggunaan utiliti seperti elektrik dan air, capaian internet dan sebagainya, maka faedah kewangan bersih kepada terhadap kebajikan isi rumah mungkin akan menjadi neutral atau mungkin juga kurang signifikannya.
“Sementara itu, dalam jangka masa panjang, kerja hibrid berpotensi menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi digital negara melalui peningkatan kebergantungan terhadap infrastruktur digital, keselamatan siber dan perkhidmatan teknologi maklumat.
“Kesannya, ia bukan sahaja merangsang pertumbuhan industri digital tempatan, malah ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih berdaya saing dan berinovasi dapat diperluaskan.
“Malah, pelaksanaan kerja hibrid ini turut berpotensi meningkatkan pengetahuan serta keupayaan pekerja, khususnya dari segi literasi digital,” jelasnya.

Kesediaan penjawat awam
Tambah Jain, impak positif ekonomi BHB hanya akan dapat direalisasikan sekiranya beberapa prasyarat dipenuhi.
“Pertama, fasiliti yang lengkap di kediaman, termasuk capaian internet, sistem pengurusan dokumen dan keselamatan data perlu berada pada tahap yang tinggi bagi memastikan kesinambungan operasi.
“Kedua, impak kepada kos kewangan isi rumah perlu menjadi lebih rendah atau sekurang-kurangnya seimbang.
“Ketiga, kesiapsiagaan digital yang mencukupi dalam kalangan pekerja, termasuk kemahiran digital dalam kalangan penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti.
“Keempat, sistem penilaian prestasi perlu beralih daripada ukuran berasaskan kehadiran kepada ukuran berasaskan hasil kerja yang boleh diukur agar tidak membebankan pekerja dari sudut emosi dan perkerjaan,” jelasnya.
Garis panduan kerja perkhidmatan awam
Tambahnya lagi, bagi memastikan kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lancar dan ekfisyen, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan khas secara one-off bagi menyokong persediaan fasiliti di rumah untuk kegunaan kerja.
“Selain itu, Kerajaan juga perlu memperkukuh perlindungan data, sistem akses jauh (VPN), dan kawalan keselamatan maklumat bagi mengelakkan risiko kebocoran data kerajaan.
“Garis panduan kerja hibrid perlu diperjelas termasuk hari bekerja di pejabat, di rumah, serta tanggungjawab penyeliaan bagi mengelakkan ketidakkonsistenan pelaksanaan tugasan,” katanya.

Impak ekonomi bandar
Walau bagaimana pun, Jain berkata, dari lensa ekonomi bandar, pengurangan kehadiran pekerja di kawasan pejabat dijangka memberi sedikit kesan kepada perniagaan yang bergantung kepada aliran harian penjawat awam.
“Ia akan memberi impak ekonomi kepada restoran, kedai makan, gerai kecil, kedai serbaneka, pengangkutan awam, perkhidmatan e-hailing yang mungkin akan mengalami penurunan permintaan, khususnya di kawasan pentadbiran Kerajaan,” jelasnya.
Bagi mengurangkan impak terhadap perkata tersebut, Jain mencadangkan bagi tempoh jangka masa panjang, kerajaan boleh melaksanakan pengurangan keperluan kehadiran fizikal serentak.
“Ini membolehkan jabatan kerajaan beralih kepada konsep shared workspace, iaitu tidak perlu lagi menyediakan meja tetap untuk setiap pekerja, sebaliknya ruang sedia ada digunakan secara bergilir mengikut kehadiran.
“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos perjabat kepada lebih rendah tetapi turut memaksimumkan amalan paperless,” ujarnya.
Transformasi digital
Tambah Jain, secara amnya, pelaksanaan dasar tersebut berpotensi memberikan impak positif yang lebih dominan, khususnya dalam mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi baharu yang lebih berasaskan digital, pengetahuan dan inovasi.
“Walau bagaimanapun, objektif utama pelaksanaan dasar ini perlu diperjelaskan dengan lebih tegas, sama ada bertujuan memperkukuh ekonomi digital atau mengoptimumkan kos operasi kerajaan.
“Jika objektifnya adalah untuk mengoptimumkan kos, maka dasar perbelanjaan perlu diselaraskan semula, termasuk menilai semula keutamaan program berskala besar agar peruntukan dapat digunakan dengan lebih efisien,” tegasnya.
Pada Jumaat, Jemaah Menteri mengumumkan pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 1 Ogos 2026.
Melalui pelaksanaan itu, penjawat awam dibenarkan bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan dan tiga hari di pejabat, tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).




