
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhamad Shariff selepas beliau dipilih menganggotai Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2027 hingga 2031.
Anwar berkata, kejayaan yang diraih Yasmeen membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan serta komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak dan agenda kemanusiaan di peringkat global.
“Alhamdulillah. Tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhamad Shariff dan seluruh warga KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) atas kejayaan yang sangat membanggakan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kebanggaan negara yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pelbagai platform antarabangsa.
Perdana Menteri turut mendoakan agar kejayaan berkenaan menjadi pemacu kepada usaha berterusan Malaysia dalam mengangkat nama negara serta mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat dunia.
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan Yasmeen memperoleh 136 undi daripada 189 Negara Pihak yang menghadiri Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di ibu pejabat PBB di New York.
Yasmeen yang pernah berkhidmat sebagai anggota jawatankuasa itu bagi penggal 2013 hingga 2017, mencatat jumlah undi tertinggi dalam pemilihan berkenaan.
Beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota CRC PBB atas kapasiti peribadi dan bebas sepanjang tempoh perkhidmatan bagi penggal 2027 hingga 2031.





