
KUCHING – Kegusaran rakyat berhubung ketidakcukupan kuota 200 liter diesel sebulan meleset apabila rekod kerajaan membuktikan kurang 0.76 peratus pengguna membelanjakan bahan api melebihi paras tersebut menerusi inisiatif BUDI MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rekod penggunaan dari bulan Januari hingga Mei itu jelas menangkis persepsi negatif awam berhubung kadar peruntukan tersebut.
“Berdasarkan data, kurang daripada 0.76 peratus rakyat direkodkan menggunakan diesel melebihi kuota. Sekali gus membuktikan peruntukan tersebut adalah memadai untuk kegunaan majoriti pengguna,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sarawak) di sebuah hotel terkemuka pada Rabu.
Mengulas sebab utama penyasaran subsidi itu terpaksa dilaksanakan, Amir Hamzah menegaskan kerajaan perlu bertindak pantas bagi mengelakkan wang perbendaharaan negara ‘hangus’ susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Menurutnya, bil subsidi bahan api negara yang kebiasaannya terkawal pada tahap RM800 juta sebulan telah melonjak mendadak kepada RM4.7 bilion pada Mac, sebelum mencecah RM4.9 bilion pada April.
“Peningkatan mendadak ini memberi tekanan kewangan yang besar, sekali gus menuntut kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI bagi memastikan penampan fiskal negara kekal kukuh tanpa melepaskan bebanan kepada rakyat,” katanya.
Bagi menenangkan kerisauan awam tentang kemungkinan masalah gangguan petrol dan diesel, beliau memberi jaminan bekalan di seluruh negara sentiasa mencukupi.
“Fokus kerajaan yang pertama adalah memastikan bekalan. Alhamdulillah sejak bermula perang ini, tiada masalah bekalan dalam negara,” tegasnya.
Tambah beliau, Putrajaya telah mengarahkan syarikat minyak nasional, Petronas dan pemain industri untuk melebarkan rangkaian sumber import bahan api, termasuk dari Rusia yang kini bebas daripada sekatan antarabangsa.
Tegas Amir Hamzah, insiden terpencil melibatkan beberapa stesen pam kehabisan minyak di kawasan tertentu hanyalah berpunca daripada kelewatan logistik penghantaran kapal ke depoh, bukannya akibat krisis kekurangan rizab negara.
Sementara itu, bagi memastikan hak rakyat marhaen tidak terus dirompak, kerajaan memperkasakan penguatkuasaan bagi membanteras sindiket penyeludupan sempadan.
Beliau berkata, jalinan kerjasama penguatkuasaan itu kini digerakkan secara agresif melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Marin.
Tindakan serampang dua mata ini penting bagi menjamin kelangsungan ekonomi supaya lebihan dana kerajaan dapat dikembalikan kepada sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam untuk manfaat generasi rakyat akan datang.






