
SARATOK – Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun kelapa sawit di Kampung Empayang, Kabong sejak 12 Jun lalu akhirnya terungkai apabila mangsa ditemui selamat pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, mangsa dikenali sebagai Jobeni Akau, 51, ditemui sedang berjalan kaki di Jalan Selalang berhampiran simpang Rumah Jimbun, Sungai Sawa Ibus kira-kira jam 9 malam.
Menurut beliau, kehilangan mangsa dilaporkan oleh adiknya, Jonical Usang Akau, 32, yang membuat laporan polis selepas abangnya gagal pulang ke rumah sejak keluar ke kebun kelapa sawit di kawasan Empayang.
“Pengadu memaklumkan kali terakhir melihat mangsa pada 12 Jun sebelum dia keluar ke kebun. Pada keesokan harinya, makanan yang dihantar ke kebun didapati tidak terusik dan mangsa gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak bekerja dipercayai mempunyai masalah mental, namun tidak pernah mendapatkan rawatan di mana-mana pusat kesihatan.
“Ini bukan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku. Mangsa sebelum ini pernah beberapa kali keluar dari rumah dan pulang semula selepas beberapa hari,” jelasnya.
Susulan laporan diterima, polis telah menjalankan siasatan awal termasuk melawat lokasi kejadian, mengambil keterangan pengadu serta membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di rumah pengadu di Kampung Empayang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mathew berkata, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam, sepasukan anggota polis bersama pengadu melancarkan Ops Kesan di kawasan Jalan Selalang kira-kira jam 8 malam.
“Sejam kemudian, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat ketika berjalan kaki di kawasan tersebut sebelum dibawa pulang kepada keluarganya,” katanya.
Beliau menambah, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam sebaik sahaja mangsa ditemui.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang dan kini selesai,” ujarnya.






