
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan semua entiti yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), termasuk MADANI Mart, tertakluk kepada pemantauan dan peraturan yang sama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pematuhan terhadap syarat pendaftaran, pengurusan kewangan dan operasi syarikat sentiasa dipantau menerusi semakan penyata kewangan serta laporan tahunan yang dikemukakan kepada SSM.
Menurut beliau, sebarang aduan yang diterima berkaitan mana-mana entiti berdaftar akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Yayasan Madani didaftarkan melalui agensi KPDN, iaitu SSM. Pendaftarannya dibuat di bawah Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.
“Kedua, mana-mana pihak atau entiti perniagaan yang menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan berjadual adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan perlu mendapatkan lesen barang kawalan berjadual (CSA) daripada KPDN.
“Kewajipan ini dikenakan ke atas semua premis peruncitan yang menyimpan, membekal atau menjual barang kawalan berjadual. Berdasarkan rekod kementerian, dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas dua entiti perniagaan yang bertindak sebagai operator,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata, Yayasan Madani yang menerajui MADANI Mart beroperasi sebagai entiti perniagaan swasta dan bukan sebahagian daripada program kerajaan, walaupun inisiatif itu selari dengan usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Beliau berkata, kementerian sentiasa menyokong penglibatan sektor swasta dalam memperkukuh rantaian bekalan domestik dan memperluaskan akses pengguna kepada barangan asas.
“Selaras aspirasi memperkukuh ekonomi domestik, kementerian akan terus memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem perdagangan yang kondusif, berdaya saing dan memberi manfaat kepada pengguna serta komuniti perniagaan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Ahli Parlimen boleh mengemukakan cadangan kepada pejabat KPDN di negeri atau daerah masing-masing sekiranya mahu Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) diadakan di kawasan mereka.
“Boleh menulis kepada KPDN cawangan untuk mencadangkan (lokasi) tetapi akhirnya KPDN cawangan perlu untuk membuat penilaian supaya tidak ada pertindihan. Supaya kawasan lain juga dapat akses dan ada dianjurkan PGRM.
“Bermula tahun lalu sebenarnya, dari segi ketelusan maklumat, kita sudah mewujudkan takwim PJRM yang boleh diakses oleh orang awam termasuklah wakil-wakil rakyat untuk melihat penjadualan dan lokasi yang sudah ditetapkan kerajaan” katanya.
Beliau berkata, sasaran penganjuran PJRM bagi tahun ini ditingkatkan kepada 30,000 program di seluruh negara bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pengguna.








