
PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh mencapai persetujuan untuk menambah baik mekanisme pengambilan pekerja antara kedua-dua negara bagi memastikan proses tersebut lebih telus, berintegriti dan memberi perlindungan sewajarnya kepada pekerja migran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tenaga kerja asing khususnya dari Bangladesh memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai sektor ekonomi negara, namun aspek kebajikan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, kedua-dua negara berkongsi kebimbangan terhadap isu eksploitasi pekerja migran dan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan dalam sistem pengambilan pekerja.
“Ya, kita memerlukan tenaga kerja. Namun yang lebih penting ialah memastikan kebajikan pekerja dan keluarga mereka sentiasa terpelihara.
“Amalan mengeksploitasi pekerja, melayan mereka secara tidak adil dan menjadikan mereka sebagai sumber keuntungan peribadi tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Anwar berkata, komitmen bersama yang ditunjukkan oleh kedua-dua negara penting bagi memastikan sistem pengambilan pekerja yang diamalkan mampu memenuhi keperluan ekonomi tanpa mengabaikan hak serta kesejahteraan pekerja.
“Kita mesti memimpin usaha menghentikan segala penyalahgunaan ini serta memastikan sistem yang diamalkan lebih telus, memenuhi keperluan kedua-dua negara dan pada masa sama melindungi kepentingan pekerja serta keluarga mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tarique Rahman memohon agar Malaysia mempertimbangkan kemasukan lebih ramai pekerja Bangladesh selain membuka semula pasaran pekerjaan kepada rakyat negara itu dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, isu berkaitan pemutihan pekerja tanpa dokumen dan penghantaran pulang warga Bangladesh yang ditahan turut dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
“Kami bersetuju bahawa proses pengambilan pekerja perlu dilaksanakan secara telus, adil dan saksama, dengan mengurangkan peranan orang tengah serta memastikan kos kepada pekerja lebih rendah,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta pertukaran dua Nota (EoN) yang melibatkan bidang Penyelidikan Antikeganasan dan Promosi serta Pemudahcaraan Pelaburan.
Malaysia dalam sesi pertukaran dokumen itu diwakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi bidang pelaburan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi bidang penyelidikan antikeganasan dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi kerjasama kebudayaan.
Bangladesh pula diwakili Menteri Luarnya, Dr Khalilur Rahman.









