FTA Malaysia-Bangladesh dipercepat, fokus kerjasama sektor masa depan

PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh bersetuju mempercepat pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, selain membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam sektor berteknologi tinggi dan industri masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa kementerian berkaitan telah diberi tanggungjawab untuk mempergiat usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara melalui kerjasama yang lebih menyeluruh merangkumi pelbagai bidang pembangunan.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Bangladesh tidak boleh hanya tertumpu kepada perdagangan serta pelaburan, sebaliknya perlu diperluas kepada bidang yang mampu menyokong daya saing ekonomi pada masa hadapan.

“Kerjasama itu tidak seharusnya terhad kepada perdagangan dan pelaburan semata-mata, walaupun kedua-duanya kekal sebagai aspek amat penting.

“Sebaliknya, ia perlu diperluaskan kepada penyelidikan, sains dan teknologi baharu, semikonduktor serta AI, memandangkan bidang ini adalah cabaran serta peluang masa depan untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Anwar, kedua-dua negara turut memeterai pertukaran nota yang melibatkan kerjasama dalam bidang kebudayaan, penyelidikan berkaitan usaha membanteras keganasan serta galakan pelaburan.

Beliau berkata, Bangladesh mempunyai potensi ekonomi yang besar dan mampu menjadi rakan strategik penting kepada Malaysia dalam usaha memperluas jaringan perdagangan serta pelaburan di rantau Asia Selatan.

“Bangladesh sebuah negara besar dengan potensi yang sangat besar dan bersama Malaysia, kita perlu meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Kerjasama juga perlu diperluaskan ke bidang baharu selain pertanian yang kekal sebagai sektor penting, termasuk semikonduktor, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Tarique Rahman berkata, Bangladesh komited untuk meneruskan rundingan dengan Malaysia bagi memuktamadkan FTA yang dijangka memberi manfaat besar kepada ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata, kerajaan Bangladesh kini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan peluang pekerjaan, kemasukan pelaburan asing dan pembangunan sektor swasta.

“Keutamaan kami ialah mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing dan mempercepat pertumbuhan ekonomi, kami sedang membina persekitaran yang mesra perniagaan serta membuka peluang baharu kepada pelabur.

“Saya melihat potensi besar untuk pelaburan Malaysia di Bangladesh dan dengan penuh hormat menjemput syarikat Malaysia meneroka peluang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan antara kedua-dua pemimpin turut merangkumi pelbagai sektor yang berpotensi untuk diperkasakan, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga, infrastruktur, industri halal, pendidikan, pembangunan kemahiran, pertahanan, ekonomi digital dan semikonduktor.

“Pekerja, pelajar, golongan profesional dan usahawan Bangladesh di Malaysia menjadi jambatan penting yang menghubungkan kedua-dua negara, selain memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat kedua-dua negara,” katanya.

Related Posts

Malaysia, Bangladesh sepakat tambah baik mekanisme pengambilan pekerja

PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh mencapai persetujuan untuk menambah baik mekanisme pengambilan pekerja antara kedua-dua negara bagi memastikan proses tersebut lebih telus, berintegriti dan memberi perlindungan sewajarnya kepada pekerja migran.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar terima kunjungan Tarique, kerjasama baharu Malaysia-Bangladesh jadi tumpuan

PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh dijangka memperkukuhkan kerjasama strategik merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, tenaga, semikonduktor dan pembangunan modal insan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke negara ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Akta Jenayah Komputer 1997 akan dimansuh, RUU Jenayah Siber 2026 dibentang demi pemerkasaan keselamatan siber

Akta Jenayah Komputer 1997 akan dimansuh, RUU Jenayah Siber 2026 dibentang demi pemerkasaan keselamatan siber

DBP laksana Rancangan Strategik 2026-2030 pandu korpus AI Bahasa Melayu

DBP laksana Rancangan Strategik 2026-2030 pandu korpus AI Bahasa Melayu

DBP perhebat usaha dokumentasi kosa kata 27 etnik Sarawak

DBP perhebat usaha dokumentasi kosa kata 27 etnik Sarawak

‘Trak pikap boleh buka selimut’, pemilik syukur dan berterima kasih PMX turunkan harga diesel

‘Trak pikap boleh buka selimut’, pemilik syukur dan berterima kasih PMX turunkan harga diesel

Ibrahim Sani lepas jawatan CEO Yayasan Peneraju

Ibrahim Sani lepas jawatan CEO Yayasan Peneraju

JTK Sarawak ingatkan henti sebar maklumat mengelirukan kes buruh

JTK Sarawak ingatkan henti sebar maklumat mengelirukan kes buruh