
LIMBANG – Cadangan pembinaan sebuah sekolah berkelompok di Limbang bagi menangani masalah sekolah yang sering dilanda banjir mendapat sokongan positif daripada masyarakat setempat menerusi sesi libat urus yang diadakan pada jumaat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sekolah berkelompok yang dicadangkan itu akan menggabungkan lima sekolah rendah yang kerap terjejas akibat banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Meritam, SK Tiga Kampung, SK Telahak, SK Lubok Tekuruk dan SK Kuala Awang di bawah satu kampus yang lebih selamat dan kondusif.
Menurut beliau, lokasi yang dikenal pasti bagi pembinaan sekolah tersebut adalah di kawasan berhampiran Kampung Telahak dan Kampung Binjai yang terletak di sepanjang laluan Projek Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH).

“Saya telah mengemukakan cadangan supaya sekolah berkelompok ini diwujudkan di Limbang.
“Masalah banjir yang berlaku hampir setiap bulan bukan sahaja menjejaskan proses pembelajaran murid, malah menyebabkan kerosakan kemudahan sekolah serta mendedahkan murid kepada ancaman keselamatan termasuk risiko serangan buaya,” katanya semasa ditemui media pada lawatan ke Tadika Kemas Pekan Medamit, pada Sabtu.
Hasbi berkata, pihak kementerian pendidikan memerlukan persetujuan daripada pihak sekolah dan penduduk di kawasan terlibat terlebih dahulu sebelum dapat dipertimbangkan di peringkat dasar dan keperluan oleh kerajaan.
Ujarnya, sesi libat urus telah dilaksanakan bagi mendapatkan persetujuan secara bertulis dari pihak terlibat yang telah dihadiri seramai 129 orang yang terdiri daripada pihak JKKK Kampung, PIBG dan pihak sekolah.
“Hasil sesi libat urus yang dijalankan hari ini mendapati ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Persetujuan penduduk kampung merupakan antara syarat utama sebelum sekolah-sekolah terbabit dapat digabungkan,” jelasnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Gumbang, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan SADIA Limbang, Jerry Saraie.
Tambah beliau, masalah banjir yang berulang di beberapa sekolah di kawasan tersebut telah memberi kesan besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran selain menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meneliti keperluan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu yang dicadangkan dibangunkan berhampiran kawasan sekolah berkelompok berkenaan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.





