PUTRAJAYA – Pekeliling baharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disifatkan langkah positif dalam mengimbangi hak penjawat awam membuat pelaburan yang sah dengan keperluan menjaga integriti serta mengelakkan konflik kepentingan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyambut baik pekeliling terbaharu itu yang memperincikan garis panduan pemilikan aset, termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam.
Menurut beliau, penetapan had pemilikan dan keperluan mendapatkan kelulusan bagi pegangan yang melebihi had tertentu mampu meningkatkan akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
“Dalam era ekonomi digital, pengiktirafan terhadap aset digital yang didagangkan melalui platform berlesen juga menunjukkan kesediaan kerajaan menyesuaikan peraturan dengan perkembangan semasa.
“Namun, aspek pemantauan dan pengisytiharan aset perlu diperkukuh bagi memastikan sumber pendapatan adalah sah serta tidak melibatkan penyalahgunaan kedudukan,” katanya kepada The Malayia Press (TMP), pada Ahad.

Dalam pada itu, Jais berkata, isu utama bukanlah berapa banyak aset yang dimiliki oleh seseorang penjawat awam tetapi bagaimana aset tersebut diperoleh selain integriti, ketelusan dan pengisytiharan yang jujur mesti menjadi asas kepada setiap bentuk pemilikan.
“MCW percaya pekeliling ini mampu memperkukuh budaya integriti serta membantu membina sebuah perkhidmatan awam yang lebih berwibawa, profesional dan diyakini rakyat.
“Penjawat awam berhak menjadi kaya tetapi kekayaan itu mestilah diperoleh secara sah, telus dan berintegriti,” katanya.
Terdahulu, JPA mengeluarkan arahan baharu mengenai pengisytiharan harta bagi penjawat awam, termasuk semakan semula had pemilikan saham dalam syarikat serta mekanisme kelulusan yang perlu dipatuhi,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata menerusi pekeliling bertarikh 16 Jun lalu angkah itu bertujuan memperkukuh integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam, selain memastikan pelaksanaannya seiring dengan perkembangan semasa.
Menurut arahan terbaharu itu, had pemilikan saham dalam sesebuah svarikat persendirian tidak boleh melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM300,000 mengikut mana yang lebih rendah.






