
KUANTAN – Komuniti nelayan darat di Kampung Ubai, dekat sini, berpeluang meningkatkan pendapatan mereka melalui Projek Kolam Asuhan Anak Ikan Patin yang berpotensi menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan bagi setiap musim pusingan asuhan.
Projek berimpak tinggi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Inderapura itu dirasmikan Ketua Cabang PKR Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Fakhrul berkata, inisiatif terbabit direalisasikan hasil suntikan geran Dana Komuniti Sejati MADANI dari Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa ekonomi komuniti setempat melalui kaedah akuakultur moden dan mampan.
Katanya, projek berkenaan diketuai Ketua Komuniti Kampung Ubai Baru, Hussaini Ramli dan menggunakan model perniagaan sistematik bagi untuk memastikan pulangan yang konsisten kepada peserta.
“Benih ikan patin bersaiz 1 inci akan diasuh dan dibesarkan dalam tempoh 30 hari sehingga mencapai saiz optimum 4 hingga 5 inci. Setiap pusingan asuhan melibatkan sebanyak 60,000 ekor benih ikan patin.
“Benih ikan sedia ada akan dijual terus kepada pengusaha ternakan ikan patin sangkar di seluruh negeri Pahang. Anggaran hasil jualan sebanyak RM20,000 sebulan akan diagihkan terus kepada peserta komuniti yang terlibat,” katanya.
Beliau memaklumkan projek itu adalah contoh terbaik manifestasi ekonomi komuniti MADANI yang berteraskan nilai Ihsan, Mampan, dan Inovasi.
“Sejati MADANI bukan sekadar memberi geran, tetapi bertujuan membina kapasiti rakyat. Nelayan darat Kampung Ubai kini telah bertukar menjadi pengusaha benih ikan.
“Dengan kapasiti 60,000 ekor sebulan dan potensi pulangan RM20,000, ini adalah rezeki berpanjangan yang kita bina bersama,” katanya.
Beliau turut memuji kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Wanita PKR Kuantan, serta juruperunding teknikal dalam memastikan projek tersebut mematuhi prosedur operasi standard biosekuriti dan kualiti air yang ditetapkan.
Beliau optimis Kampung Ubai mampu menjadi hab utama asuhan benih patin di Pahang dengan sokongan berterusan daripada Majlis Bandaraya Kuantan dan Cabang PKR Kuantan.






