PERSEPSI menerusi wacana politik sering menjadi senjata paling ampuh apabila suatu dakwaan yang acap kali diangkat berulang kali berupaya membentuk keyakinan umum, walaupun hakikatnya masih memerlukan pengesahan melalui fakta dan rekod pelaksanaan.
Atas dasar itu, apabila timbul dakwaan bahawa Johor tidak menerima layanan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, penilaian mengenainya tidak boleh berhenti pada retorik, sebaliknya mesti berasaskan data yang boleh disemak.
Kedudukan Johor sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara menjadikan setiap keputusan berkaitan peruntukan serta pembangunan sentiasa mendapat perhatian dan disebabkan itu, sebarang kenyataan mengenai hubungan Johor bersama Putrajaya mempunyai implikasi yang lebih besar daripada sekadar polemik politik.
Dalam kenyataan yang mencetuskan perbahasan itu, terdapat dua isu utama dibangkitkan, iaitu dakwaan kononnya Johor tidak menerima peruntukan pembangunan sewajarnya serta projek pembangunan negeri sering mengalami kelewatan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, apabila dakwaan tersebut dibandingkan dengan data yang tersedia, timbul persoalan sama ada naratif tersebut benar-benar menggambarkan keadaan sebenar.
Berdasarkan angka yang dikemukakan kerajaan, Johor menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM14.6 bilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbanding RM10.2 bilion ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN) mentadbir Putrajaya.
Peningkatan sekitar 43 peratus itu bukan sahaja signifikan, malah meletakkan Johor sebagai antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan terbesar. Malah, menerima jumlah yang lebih tinggi daripada negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH), di mana Selangor menerima sebanyak RM12.2 bilion, Pulau Pinang RM7.8 bilion dan Negeri Sembilan RM6 bilion.
Angka terbabit sudah tentu tidak dengan sendirinya membuktikan semua keperluan negeri dipenuhi, namun ia juga tidak menyokong dakwaan bahawa Johor dipinggirkan daripada segi agihan pembangunan. Begitu juga dalam soal pelaksanaan projek kerana ketika ini sukar untuk mengenal pasti projek utama di negeri itu yang sengaja dilengahkan selepas perubahan pentadbiran di Putrajaya.
Sebaliknya, beberapa projek strategik memperlihatkan perkembangan yang positif seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura yang kini telah menghampiri fasa operasi selepas pelaksanaannya dipercepatkan yang memberi limpahan ekonomi yang besar kepada Johor walaupun projek itu pernah berdepan pelbagai cabaran
Pada masa sama, projek landasan Pasir Gudang-Kempas yang pada asalnya dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dilaporkan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira enam bulan. Jika fakta ini dijadikan ukuran, gambaran yang muncul ialah usaha mempercepatkan pelaksanaan, bukannya melengah-lengahkan pembangunan.
Ini bukan bermakna kerajaan tidak boleh ditegur namun dalam sistem demokrasi, kritikan adalah mekanisme semak dan imbang yang penting bagi memastikan pentadbiran sentiasa dipertanggungjawabkan tetapi kritikan hanya akan mempunyai nilai sekiranya disandarkan kepada fakta yang boleh diuji, bukannya andaian atau persepsi semata-mata.
Akhirnya, rakyat tidak akan menilai berdasarkan siapa yang paling lantang bersuara namun diteliti berdasarkan hasil yang dapat dilihat, projek yang berjaya disiapkan, peruntukan yang benar-benar disalurkan dan manfaat dirasai dalam kehidupan seharian. Dalam soal pembangunan, fakta sentiasa menjadi ukuran yang lebih adil daripada persepsi.





