
BRAZIL kembali menemui rentak apabila tampil lebih bertenaga dan menewaskan Haiti 3-0 pada aksi Piala Dunia hari ini.
Bintang Manchester United, Matheus Cunha meledak dua gol manakala penyerang Real Madrid, Vinicius Jr menyumbat satu gol untuk memastikan juara dunia lima kali itu mendahului Kumpulan C dengan empat mata.
Kemenangan itu turut menyaksikan Haiti menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan pusingan kalah mati kejohanan.
Maghribi yang menewaskan Scotland 1-0 sebelum itu turut mengumpul empat mata, manakala Scotland berada di tangga ketiga dengan tiga mata.
Brazil terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-23 apabila percubaan Vinicius berjaya ditepis penjaga gol Haiti, Johny Placide sebelum percubaan Hannes Delcroix mengeluarkan bola terkena Matheus Cunha dan melintasi garisan gol.
Cunha menggandakan kelebihan Brazil pada minit ke-36 selepas meluru menyambut hantaran Vinicius sebelum melepaskan rembatan ke penjuru atas gawang.
Vinicius pula menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak pertama apabila bijak menyambut hantaran jauh Lucas Paqueta sebelum menyudahkannya dengan tenang.









