
KUANTAN – Kerajaan Persekutuan meluluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara sebagai satu langkah besar bagi menyelaras hala tuju, model pendidikan, standard pengiktirafan dan laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan penubuhan Majlis Tahfiz Negara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet, minggu lalu.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Tahfiz Negara.
“Oleh itu, saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.
“Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak dari madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz Pahang 2026 di perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, di sini malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada himpunan itu, lebih 5,000 huffaz dari seluruh Pahang hadir dalam majlis julung kali dianjurkan Kerajaan Pahang.
Dalam usaha memperkukuh pendidikan tahfiz negara, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menghargai usaha Kerajaan Pahang, Yayasan Pahang dan semua pihak yang membina ekosistem tahfiz negeri itu dengan lebih tersusun.
Katanya, Pahang membuktikan pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.
“Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa.
“Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada al-Quran sejak usia awal diterjemahkan di Pahang melalui ilham Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.
“Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz.
“Lebih membanggakan, model ini tidak terhenti di Pahang. Melalui kerjasama Yayasan Pahang dan KEMAS sejak 2023, Modul Tadika Tahfiz Negeri Pahang disebarluaskan ke TABIKA KEMAS seluruh negara dengan pembabitan 146,390 kanak-kanak dalam program `huffaz cilik’ ini melalui 9,745 TABIKA KEMAS,” katanya.







