ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

KAZAN – Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan hubungan ekonomi antara ASEAN dan Rusia, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan tindakan yang dijadual dimuktamadkan pada penghujung tahun ini akan menjadi kerangka utama bagi memperluaskan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, pembangunan teknologi baharu serta usaha meningkatkan daya tahan iklim.

“Bagaimanapun, rangka kerja sahaja tidak mencukupi. Kerajaan boleh mewujudkan keadaan yang membolehkan; mereka boleh menetapkan dasar, menghapuskan halangan, dan memudahkan kerjasama.

“Perniagaan, pelabur, usahawan, penyelidik dan inovatorlah yang akhirnya akan mengubah aspirasi menjadi hasil,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia, di sini, hari ini.

Forum berkenaan menghimpunkan lebih 400 pemimpin industri dan wakil sektor perniagaan dari Rusia serta negara anggota ASEAN.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, platform seperti itu memainkan peranan penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama, memperkukuh perkongsian strategik dan menjana idea baharu yang mampu diterjemahkan kepada manfaat nyata.

Beliau berkata, ASEAN kekal berpegang kepada prinsip perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan serta percaya bahawa pembangunan ekonomi lebih berkesan dicapai menerusi kerjasama dan dialog berterusan.

Perdana Menteri turut mengingatkan agar ASEAN dan Rusia tidak membenarkan cabaran semasa menjejaskan keterbukaan ekonomi serta hubungan yang telah terjalin sekian lama.

“Ketahanan ekonomi harus melengkapi kerjasama antarabangsa, bukan menggantikannya,” katanya.

Beliau menegaskan sistem perdagangan pelbagai hala terus menjadi asas penting kepada kemakmuran ekonomi dunia.

“Namun ia mesti terus berkembang sebagai respons kepada realiti kontemporari dan mengekalkan tujuan asasnya: menyediakan kestabilan, kebolehramalan dan peluang untuk semua negara, tanpa mengira saiznya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ASEAN dan Rusia berupaya memperluaskan kerjasama praktikal berasaskan prinsip saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama.

“Dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan rakyat, kita dapat membantu memupuk ekonomi global yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur.

“35 tahun yang lepas telah menyediakan asas yang kukuh untuk hubungan ASEAN-Rusia. Tugas di hadapan kita sekarang adalah untuk memastikan hubungan ini kekal relevan dengan realiti dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Anwar berkata, kedua-dua pihak perlu memperluaskan ketersambungan, meningkatkan kerjasama ekonomi dan memanfaatkan peluang baharu yang terhasil daripada perkembangan teknologi serta perubahan landskap ekonomi global.

“Marilah kita ubah muhibah menjadi perkongsian, perkongsian menjadi projek dan projek menjadi manfaat ketara untuk rakyat.

“Jika kita berjaya, fasa seterusnya dalam hubungan ASEAN-Rusia bukan sahaja akan ditakrifkan oleh hubungan ekonomi lebih kukuh tetapi juga oleh sumbangan bersama kepada kestabilan, daya tahan dan kemakmuran di seluruh rantau kita,” katanya.

Anwar kini berada di Kazan, ibu kota Republik Tatarstan, Rusia, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun.

Dalam rangka lawatan kerja selama dua hari itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Related Posts

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

PAUH PUTRA – Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan amalan menjual tempat pengajian dan kemasukan pelajar melalui ‘jalan belakang’ ke universiti awam yang tular menerusi satu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

KAZAN -Negara anggota ASEAN dan Rusia disaran memperluas kerjasama pelbagai hala dalam bidang strategik seperti keselamatan makanan, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital dan pendidikan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Diesel di Semenanjung turun kepada RM4.37 seliter minggu depan – MoF

Diesel di Semenanjung turun kepada RM4.37 seliter minggu depan – MoF

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3