
SIPITANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM250,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sipitang bagi menaik taraf kemudahan sekolah dan memenuhi keperluan pembelajaran.
Katanya, peruntukan tersebut akan digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah termasuk penyediaan peralatan komputer, keperluan pengajaran serta sokongan kepada tenaga pendidik.
“Saya nak pastikan Sekolah Menengah Sipitang juga tidak ketinggalan.
“Tolong tengok, bincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), ahli Parlimen dan pihak berkaitan bagaimana boleh kita bantu tambahan sama ada peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar atau keperluan sekolah,” katanya semasa berucap di Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, bantuan tersebut perlu disalurkan segera dan tidak terperangkap dalam proses birokrasi yang panjang.
“Saya tidak mahu jadi umum hari ini, bulan Jun 2026, tetapi pelaksanaannya hanya bermula pada tahun 2027.
“Dalam tempoh dua minggu mesti ada wakil turun ke sekolah untuk melihat keperluan dan memulakan tindakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pendidikan tidak boleh dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan komited memastikan sekolah di daerah seperti Sipitang menerima perhatian sewajarnya agar pelajar dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan kondusif,” ujarnya.


