
GEORGE TOWN – Orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai medium untuk melaporkan kes gangguan seksual atau salah laku terhadap murid dan pelajar, sebaliknya perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan rasmi kepada pihak berkuasa adalah langkah paling berkesan dalam memastikan siasatan dapat dijalankan serta perlindungan sewajarnya diberikan kepada mangsa.
Menurutnya, perkongsian maklumat di media sosial semata-mata tidak membantu proses tindakan terhadap pelaku.
“Jangan gunakan media sosial untuk melaporkan. Ia tidak membawa ke mana-mana tetapi melaporkan kepada pihak berkuasa adalah satu tindakan.
“Apa yang kita mahu sekarang ialah tindakan. Sebab itu kita minta semua ahli masyarakat mengambil sikap tegas dan bertindak segera apabila berdepan kes yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Heng Ee di sini hari ini.
Mengulas mengenai kes salah laku seksual membabitkan seorang guru dan murid di Lawas, Sarawak yang tular baru-baru ini, Fadhlina menegaskan pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri perlu mengambil tindakan tegas serta-merta sebaik menerima aduan.
Katanya, semua aduan berkaitan gangguan seksual atau salah laku perlu ditangani mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa menunggu sesuatu kes menjadi tular.
“Saya ingat ini mesti ditekankan. Apabila ada anak yang mengadu diganggu secara seksual, ibu bapa mesti ambil tindakan, guru mesti ambil tindakan dan ia mesti dilakukan kepada pihak berkuasa.
“Ia mesti disiasat secara menyeluruh dan kemudiannya ada susulan daripada itu termasuk membawa anak ini untuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Menurut beliau, institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti menjadi ruang yang selamat untuk semua warga sekolah, khususnya murid yang memerlukan perlindungan daripada sebarang bentuk ancaman dan eksploitasi.
Mengulas persepsi bahawa tindakan hanya diambil selepas sesuatu kes menjadi tular, beliau menegaskan semua pihak perlu bertindak sebaik sahaja laporan diterima.
“Saya minta semua PPD supaya peka terhadap kes-kes seperti ini, jangan tunggu sehingga viral dan ambil tindakan sewajarnya mengikut proses kerja yang ditetapkan.
“Kita perlu mengambil sikap untuk terus melaporkan kepada pihak autoriti. Ini perlu ditegaskan kerana kes seperti ini tidak boleh diambil sambil lewa,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera amat penting kerana ia melibatkan keselamatan dan kebajikan murid yang perlu diberi perlindungan sewajarnya.
Dalam pada itu, Fadhlina memberi jaminan aspek keselamatan murid terus menjadi keutamaan KPM menerusi pelaksanaan Garis Panduan Sekolah Selamat yang baharu serta Polisi Perlindungan Pelajar.
Katanya, kedua-dua dokumen itu memperincikan tanggungjawab sekolah, guru dan semua pihak berkepentingan dalam mengendalikan kes yang melibatkan kanak-kanak.
“Semalam saya telah melancarkan Garis Panduan Sekolah Selamat yang baharu. Garis panduan ini merangkumi semua tindakan yang perlu diambil termasuk tanggungjawab sekolah, tanggungjawab guru dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam kes melibatkan kanak-kanak.
“Selain itu, terdapat juga Polisi Perlindungan Pelajar yang perlu diambil maklum oleh ibu bapa, guru dan semua pihak yang menjaga kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mekanisme tersebut akan berkuat kuasa di semua sekolah di bawah KPM dan menjadi asas penting dalam memastikan perlindungan menyeluruh terhadap murid.






