
IPOH – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai membunuh teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita terbabit dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Trans-Perak, Kampung Gajah, pada Rabu lalu.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.45 petang Khamis di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar, hasil operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek dipercayai cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis kurang 24 jam selepas kejadian.
Menurutnya, polis turut menemui semula sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu yang dibuang ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.
“Dengan tertangkapnya suspek, kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.
“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, pada Jumaat.

Mohd Alwi berkata, kejadian itu terbongkar selepas Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerima maklumat daripada orang awam pada jam 5.49 pagi mengenai seorang lelaki yang ditikam di Jalan Trans-Perak.
Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, dihantar ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman.
Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada konflik hubungan dan perasaan cemburu melibatkan suspek, bekas teman wanitanya serta mangsa.
“Siasatan mendapati sehari sebelum kejadian, suspek telah bertemu wanita berusia 25 tahun itu di kawasan sawah padi di Jalan Trans-Perak.
“Dalam pertemuan tersebut, suspek dipercayai mengugut dan kemudian merogol wanita berkenaan di dalam kenderaannya,” katanya.
Beliau berkata, pada keesokan harinya kira-kira jam 5 pagi, suspek menghantar wanita terbabit ke keretanya sebelum mangsa tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa cuba menghalang kenderaan suspek, namun suspek bertindak menyerang dan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan pisau.
“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kenderaan itu di Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah,” katanya.
Ujarnya, dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Tambahnya lagj, semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.





