
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pelaksanaan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) tidak membawa kepada pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap (PR) mahupun hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
Sebaliknya, langkah yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Semenanjung Malaysia itu bertujuan memperkukuh pengurusan migrasi negara melalui pengumpulan data yang lebih lengkap dan tepat, sekali gus membantu kerajaan menangani isu keselamatan dengan lebih berkesan.
Menurut KDN, pendekatan tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan setiap individu yang berada dalam negara dapat dikenal pasti melalui maklumat yang sahih dan boleh disahkan.
“Prinsip yang dipegang Kerajaan adalah jelas. Keselamatan negara tidak akan sesekali di kompromi. Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kerajaan MADANI percaya bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat. Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara,” katanya.
KDN menjelaskan bahawa pelaksanaan DPP merupakan sebahagian daripada usaha mewujudkan sistem pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berasaskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
Kementerian itu turut berpandangan bahawa isu pelarian perlu ditangani secara berhemah berdasarkan fakta dan pertimbangan menyeluruh yang merangkumi aspek keselamatan serta kemanusiaan.
“Isu pelarian perlu diuruskan secara berhemah, berasaskan fakta serta mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan mencerminkan pendirian Kerajaan MADANI dalam menangani salah satu cabaran migrasi paling kompleks yang dihadapi negara sejak sekian lama.
“Hakikatnya, Malaysia sudah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR selama berpuluh tahun,” katanya.
Menurut KDN, kerajaan masih berdepan kekangan dari segi pemilikan data lengkap berkaitan jumlah sebenar, identiti dan latar belakang individu yang mendakwa diri sebagai pelarian atau memegang dokumen berkaitan.
Justeru, kementerian itu menegaskan keperluan untuk membangunkan pangkalan data yang lebih komprehensif bagi memastikan setiap dasar dan tindakan yang dilaksanakan bersandarkan maklumat yang tepat.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri.
“Atas sebab itu, berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), KDN melalui imigresen sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia.
“Proses ini membabitkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian,” katanya.
KDN memaklumkan bahawa proses DPP akan membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi tujuan pengesahan status serta pemantauan individu yang terbabit.
Maklumat tersebut juga akan digunakan untuk menilai kesan kehadiran pelarian terhadap aspek keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
“Data ini amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
“Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan,” katanya.




