Krisis Negeri Sembilan: Penyelesaian kemelut perlu berlandaskan tertib adat dan undang-undang – Pakar

SEREMBAN – Kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan perlu diselesaikan mengikut saluran adat dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit serta menjejaskan keharmonian institusi berkenaan.

Pakar Perlembagaan dan Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, proses pelantikan Yang Dipertuan Besar baharu hanya boleh dilaksanakan dalam dua keadaan, iaitu apabila penyandang mangkat atau baginda turun takhta secara sukarela.

Menurutnya, selagi proses berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar belum diselesaikan mengikut peruntukan yang ditetapkan, sebarang pelantikan atau pertabalan baharu boleh menimbulkan persoalan dari sudut kesahihan proses tersebut.

“Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk melantik Yang Dipertuan Besar dan juga memanggil baginda supaya turun dari takhta mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Namun, proses itu perlu dilaksanakan secara tertib dan beradab, termasuk menyatakan alasan yang menjadi asas kepada tindakan berkenaan serta memberi ruang kepada baginda untuk menjelaskan keadaan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini yang mencetuskan perdebatan berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.

Noor Aziah menjelaskan, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan unik yang berteraskan Adat Perpatih, dengan kuasa memilih Yang Dipertuan Besar terletak pada Undang Yang Empat sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negeri itu.

Katanya, sebarang pertikaian atau salah faham yang timbul antara pihak berkaitan sewajarnya diselesaikan menerusi mekanisme adat yang telah sekian lama menjadi asas kepada kestabilan pemerintahan negeri.

“Sistem adat yang kita warisi ini sudah tersusun dengan baik. Justeru, saluran adat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya memburukkan lagi keadaan.

“Orang besar adat serta pihak yang memahami selok-belok sistem berkenaan perlu memainkan peranan sebagai pengantara bagi meredakan ketegangan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap campur tangan pihak luar yang dilihat cuba mengambil kesempatan daripada kemelut berkenaan sehingga berpotensi mencetuskan persepsi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Jelas Noor Aziah, pihak berkaitan perlu mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan, sebaliknya memberi keutamaan kepada usaha perdamaian dan rundingan.

“Apabila berlaku salah faham, penyelesaiannya bukan dengan menambah tekanan atau konflik. Apa yang lebih penting ialah kembali kepada proses yang beradat dan berperaturan supaya keharmonian institusi diraja dapat dipelihara,” katanya.

Beliau berpandangan usaha mencari seorang pengantara yang diterima kedua-dua pihak mungkin dapat membantu merapatkan jurang perbezaan dan membuka ruang kepada penyelesaian secara harmoni.

Pada Selasa, dalam satu kenyataan, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, istiadat pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu disifatkan sebagai tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan Negeri Sembilan, undang-undang dan adat istiadat negeri itu.

Beliau berkata, gelaran Yang Dipertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar tidak mempunyai sebarang kedudukan atau kuasa yang sah.

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan menerima gelaran berkenaan menyebabkan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dengan sendirinya melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang sebelum ini.

Menurut beliau, susulan perkembangan itu, Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kini tidak lagi mempunyai penyandang.

Related Posts

Kebakaran terbuka menurun, JBPM Sarawak tumpu tiga kebakaran hutan berskala besar

KUCHING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merekodkan penurunan panggilan kebakaran terbuka, namun operasi pemadaman hutan berskala besar kini tertumpu di tiga lokasi utama termasuk di Limbang. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gerakan koperasi Pahang rekod perolehan RM1.13 bilion

KUANTAN – Gerakan koperasi di Pahang mencatat perolehan RM1.13 bilion tahun lalu, meningkat 15 peratus berbanding 2024, manakala jumlah aset keseluruhan kini melebihi RM1.73 bilion. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebakaran terbuka menurun, JBPM Sarawak tumpu tiga kebakaran hutan berskala besar

Kebakaran terbuka menurun, JBPM Sarawak tumpu tiga kebakaran hutan berskala besar

Gerakan koperasi Pahang rekod perolehan RM1.13 bilion

Gerakan koperasi Pahang rekod perolehan RM1.13 bilion

Selangor tegas tidak lulus pusat data jika bekalan air, tenaga tidak mencukupi

Selangor tegas tidak lulus pusat data jika bekalan air, tenaga tidak mencukupi

RM4.08 juta dadah, ketum dilupus, 12,916 pesalah ditahan – Polis Perak

RM4.08 juta dadah, ketum dilupus, 12,916 pesalah ditahan – Polis Perak

SACC dijenama semula sebagai SITC, pacu Shah Alam jadi hab perdagangan

SACC dijenama semula sebagai SITC, pacu Shah Alam jadi hab perdagangan

Pemegang MyKad berpeluang dapat tiket F1 GP Bahrain serendah RM200

Pemegang MyKad berpeluang dapat tiket F1 GP Bahrain serendah RM200