
SARATOK – Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan kecurian barangan antik di sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Melayu Roban, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 37 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar kawasan Roban pada Isnin lalu.
Menurut beliau, kejadian itu disedari oleh mangsa iaitu seorang petani berusia 31 tahun pada 24 Mei lepas, apabila mendapati terdapat kesan umpil pada pintu utama rumah peninggalan ibunya itu.
“Kediaman tersebut dibiarkan tidak berpenghuni sejak Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, mangsa mendapati beberapa perhiasan rumah jenis tembaga dan sebuah mesin rumput dilarikan, membabitkan anggaran kerugian sekitar RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mathew memaklumkan suspek utama mengaku memecah masuk rumah berkenaan pada 30 April lalu dengan merosakkan mangga pintu menggunakan sebatang kayu.
Suspek kemudiannya bertindak melarikan beberapa barangan antik di ruang tamu, sebelum membawanya ke rumah seorang lagi suspek untuk diambil gambar bagi tujuan jualan.
“Siasatan mendapati suspek cuba mencari pembeli menerusi aplikasi WhatsApp, namun gagal sebelum bertindak menjual kesemua barang antik tersebut di sebuah kedai barang lusuh dengan harga serendah RM25.
“Wang hasil jualan itu kemudiannya dipercayai digunakan oleh suspek untuk membeli bekalan dadah,” ujarnya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin.
Semakan turut mendapati suspek pertama memiliki satu rekod lampau di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan mencuri.






