
KOTA KINABALU – Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah mempergiat usaha memperkukuh perlindungan pengguna menerusi kerjasama rentas agensi bagi menangani pelbagai cabaran semasa dalam isu kepenggunaan.
Ia termasuk peningkatan kes penipuan dalam talian, kos sara hidup yang terus menjadi kebimbangan rakyat serta isu keselamatan makanan.
Pengerusi Bersama GPN Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, landskap kepenggunaan masa kini semakin kompleks dan memerlukan tindakan bersepadu dari pelbagai pihak kerana isu yang dihadapi pengguna tidak lagi terhad kepada aspek perdagangan semata-mata.
“Perkembangan pesat teknologi digital telah membawa pelbagai kemudahan kepada pengguna, namun pada masa sama membuka ruang kepada ancaman baharu.
“Ia seperti penipuan siber, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Selasa.
Selain itu menurut Julita, kegiatan ‘scammer’ bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas.
“Cabaran kepenggunaan hari ini melibatkan pelbagai sektor termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital.
“Sebab itu pendekatan rentas agensi amat penting bagi memastikan perlindungan pengguna dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Julita yang juga Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, kerjasama pelbagai agensi itu menjadi platform penting bagi menyelaras tindakan, berkongsi maklumat dan memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna serta pihak berkepentingan.
“Usaha memperkasakan literasi digital dalam kalangan pengguna akan terus diberikan keutamaan bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap risiko jenayah siber yang semakin berkembang.
“Pengguna perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi supaya mereka dapat mengenal pasti taktik penipuan serta membuat keputusan yang lebih bijak ketika berurusan dalam persekitaran digital,” ujarnya.
Tambahnya, isu kos sara hidup dan keselamatan makanan turut kekal menjadi agenda utama GPN Sabah memandangkan kedua-dua aspek tersebut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama erat antara agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, berkualiti dan selamat, selain membantu mengawal tekanan kos yang dihadapi pengguna.
“GPN Sabah akan terus memainkan peranan sebagai platform penyelarasan strategik dalam menggerakkan tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik demi melindungi hak serta kepentingan pengguna,” katanya.
Tambahnya, pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya dan ia adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan.
“Saya berharap jaringan kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah mampu mempertingkat keberkesanan usaha perlindungan pengguna serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.






