
KANGAR – Isu dakwaan penjualan bahagian lembu korban sumbangan kerajaan negeri dilihat menjadi episod baharu dalam siri pertelagahan terbuka antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Perkembangan itu tercetus apabila Armada Bersatu Bahagian Kangar menggesa siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan terdapat bayaran dikenakan ke atas peserta program korban yang menggunakan lembu diperuntukkan kerajaan negeri.
Naib Ketua Armada Bersatu Bahagian Kangar, Mohd Firdaus Ismail berkata, pihaknya memandang serius dakwaan bahawa lembu korban yang diperuntukkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan ibadah korban telah dikenakan bayaran kepada rakyat.
Menurutnya, sekiranya benar terdapat kutipan RM300 bagi setiap bahagian lembu korban yang disediakan melalui peruntukan kerajaan negeri, perkara itu perlu dijelaskan secara terbuka bagi mengelak kekeliruan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan program kebajikan dan keagamaan.
“Kami menggesa pihak berkuasa termasuk agensi penguat kuasa dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan program korban tersebut menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran prosedur, penyalahgunaan peruntukan atau unsur keuntungan yang tidak sepatutnya daripada program yang dibiayai menggunakan dana awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, tular satu laporan polis yang mendakwa ADUN Beseri merangkap Ketua Pemuda Pas Perlis, Haziq Asyraf Dun menjual daging lembu korban sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk.
Menerusi laporan itu, lembu berkenaan didakwa dibahagikan kepada tujuh bahagian dan setiap peserta dikenakan bayaran RM300 bagi satu bahagian yang perlu dijelaskan kepada pihak pengurusan DUN Beseri.
Mohd Firdaus berkata, program korban yang melibatkan bantuan kerajaan seharusnya dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan mengutamakan kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Haziq menerusi hantaran di Facebook menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terkandung dalam laporan polis tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah serta kenyataan mengelirukan.
Beliau turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan perkara tersebut untuk tindakan lanjut.





