
PASIR MAS – Lima individu termasuk seorang wanita direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes penculikan seorang lelaki berusia 51 tahun di Tumpat, Jumaat lalu.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali bermula hari ini hingga 21 Jun.
Kesemua suspek ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
Terdahulu, mereka tiba di Kompleks Mahkamah Pasir Mas kira-kira jam 8.50 pagi dengan memakai pakaian lokap dan diiringi anggota polis.
Difahamkan, mangsa diculik menggunakan senjata api dalam kejadian di Tumpat sebelum semua suspek berjaya diberkas sehari selepas kejadian.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif penculikan serta kemungkinan penglibatan individu lain dalam kes berkenaan.
Foto: Metro





