Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

SUNGAI PETANI – Perdebatan politik di Johor dan Negeri Sembilan seharusnya tertumpu kepada keadilan dan peluang sama rata, bukan retorik perkauman atau politik perpecahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua negeri itu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing baru-baru ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

Anwar berkata, perdebatan politik sering dipenuhi dengan persoalan kaum, status atau kekayaan termasuk mengabaikan masa depan rakyat Malaysia biasa dan anak-anak mereka.

“Wacana awam tidak seharusnya dikecilkan kepada pertandingan untuk melihat siapa yang boleh membangkitkan sentimen perkauman, mengeksploitasi naratif majoriti-minoriti atau menyebarkan kebencian.

“Sebaliknya, tumpuan harus diberikan kepada keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan,” katanya dalam ucapan selepas menyampaikan geran tahunan kerajaan berjumlah RM25 juta kepada Universiti AIMST di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin, selain sokongan sedia ada kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, cabaran asas negara adalah memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti untuk semua, tanpa mengira latar belakang, etnik atau tempat tinggal.

“Ia bukan tentang kaum dan ia bukan tentang latar belakang keluarga anda. Ia adalah tentang masa depan kita sebagai sebuah negara dan masa depan keluarga anda,” katanya.

Tambah beliau, keadilan sebenar bukan sekadar memberikan layanan sama rata, tetapi memastikan peluang yang adil kepada mereka yang datang daripada latar belakang kurang bernasib baik.

Merujuk kepada idea ahli falsafah politik Harvard Michael Joseph Sandel, beliau berkata, keadilan mesti berteraskan kesaksamaan.

“Kita tidak boleh membandingkan anak seorang jutawan yang mempunyai pelbagai kemudahan dan akses dalam kehidupan dengan anak seorang pekerja estet atau petani miskin yang serba kekurangan kemudian menyimpulkan bahawa hasil akhirnya sahaja yang menentukan maksud keadilan,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut memetik negarawan India, Dr BR Ambedkar sebagai contoh bagaimana ketabahan dan akses kepada pendidikan boleh mengubah kehidupan.

Jelasnya, walaupun datang daripada salah satu komuniti paling terpinggir di India, Ambedkar bangkit menuntut ilmu di universiti terkemuka dan kemudian mengetuai jawatankuasa yang merangka Perlembagaan India.

Anwar berkata, kehidupan Ambedkar membuktikan kepentingan demokrasi sosial dan peluang sama rata, khususnya untuk golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Beliau turut merujuk ahli pemikir politik Perancis, Alexis de Tocqueville dengan berkata, demokrasi tidak boleh berkembang melalui kebencian, prejudis atau kejahilan.

“Untuk memperkukuh kebebasan dan demokrasi, kita mesti mengangkat kemanusiaan dan maruah manusia,” katanya.

Anwar turut menggesa, pelajar supaya terus berbangga dengan asal-usul mereka dan menghargai pengorbanan ibu bapa daripada latar belakang sederhana, termasuk pekerja estet, petani dan lain-lain yang berjuang menyediakan peluang untuk anak-anak mereka.

Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia biasa memiliki nilai belas kasihan dan kemanusiaan yang boleh menjadi pengajaran walaupun kepada pemimpin politik dan golongan intelektual.

“Saya menggalakkan pelajar membaca karya pemikir seperti Ambedkar, Sandel dan Tocqueville untuk lebih memahami prinsip keadilan, demokrasi dan kemanusiaan,” katanya.

Related Posts

Proses turun takhta Yang di-Pertuan Besar langgar tujuh tegahan Adat Pepatih, ketepikan peranan Ibu Soko

PUTRAJAYA – Tindakan Undang Yang Empat menggunakan kuasa memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 secara jelas bertentangan dengan adat serta peruntukan undang-undang negeri. Felo…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

BATU PAHAT – Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan penguasaan teknologi, pengukuhan nilai kemanusiaan serta penolakan terhadap politik perpecahan kaum dan agama ketika menyampaikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengunduran Marina tidak jejaskan sokongan Melayu kepada DAP

Pengunduran Marina tidak jejaskan sokongan Melayu kepada DAP

Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

Keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan perlu diutamakan – PM

PRN Johor penentu hala tuju negeri,  kesejahteraan rakyat

PRN Johor penentu hala tuju negeri,  kesejahteraan rakyat

Bekas Timbalan Speaker ditemukan lemas dalam sungai

Bekas Timbalan Speaker ditemukan lemas dalam sungai

Liga Rakyat Pahang 1st semarak kembali bola sepak Pahang

Liga Rakyat Pahang 1st semarak kembali bola sepak Pahang

Sultan Pahang berkenan lancar Liga Rakyat Pahang 1st

Sultan Pahang berkenan lancar Liga Rakyat Pahang 1st