
SIBU – Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun dilaporkan hilang dipercayai selepas keluar menuju ke kawasan kebun berhampiran Rumah Philip Kayak, Durin pada petang Rabu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 7.11 pagi Khamis.
Kehilangan Monica Delima Ubong mula disedari oleh jirannya yang kali terakhir melihat mangsa sedang bersiap-siap untuk ke kebun pada jam kira-kira 3.30 petang hari kejadian.
Terdahulu, usaha awal bagi menjejaki mangsa di sekitar kawasan rumah panjang dan kebun telah dilakukan oleh penduduk setempat namun menemui jalan buntu sebelum laporan polis dibuat.
Susulan itu, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Jerry Kusau Demian dikerahkan segera ke lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang berketurunan Iban itu kini sedang giat digerakkan di lapangan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).






