
LIMBANG – Kawasan Rangau Valley dijangka muncul sebagai hab pembangunan baharu di Limbang menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik yang merangkumi pembangunan perumahan moden, pusat pentadbiran, sektor komersial serta pelancongan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembangunan bersepadu yang dirancang di kawasan itu akan mengubah landskap Limbang dan meningkatkan daya tarikan daerah tersebut sebagai destinasi pelaburan serta pelancongan.
Menurut beliau, antara projek utama yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan itu ialah pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang, Tebingan Rangau dan beberapa hotel serta pusat peranginan yang sedang dirancang.
“Limbang kini semakin pesat membangun dan jauh berbeza berbanding dahulu. Keindahan bandar ini turut diserlahkan menerusi tiga tebingan sungai yang terletak di Medamit, bandar Limbang dan Rangau.
“Selain itu, terdapat perancangan untuk membina hotel di Rangau serta sebuah pusat peranginan oleh pihak swasta yang menghadap Teluk Brunei,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus RMM Rangau Valley di Dewan Bunga Raya, di sini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, kedudukan Rangau Valley yang berhampiran Teluk Brunei memberi kelebihan tersendiri untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berpotensi tinggi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak sedang merancang untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Limbang bagi membolehkan pesawat yang lebih besar, termasuk Boeing, beroperasi di lapangan terbang tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 117 ketua isi rumah yang terlibat dalam projek RMM Rangau Valley bakal menikmati kediaman yang lebih selesa dan teratur selain memiliki aset hartanah yang mempunyai nilai lebih tinggi pada masa hadapan.
Katanya, rumah yang dibangunkan di bawah projek itu mempunyai keluasan kira-kira 900 kaki persegi dengan empat bilik tidur dan dua bilik air, berbanding kediaman lama yang hanya berkeluasan sekitar 660 kaki persegi.
“Dari segi nilai pasaran, rumah di Rangau Valley kini dianggarkan bernilai antara RM353,000 hingga RM361,000, jauh lebih tinggi berbanding rumah lama yang bernilai sekitar RM51,923 hingga RM78,100,” katanya.



