
KEPUTUSAN Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim menolak pelantikan sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar dilihat membuka ruang kepada pelbagai tafsiran politik mengenai tahap sebenar hubungan Pas dan Bersatu dalam kerajaan negeri ketika ini.
Perkembangan itu menarik perhatian apabila Husna sendiri mengakui pelantikan tersebut merupakan antara usaha Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah untuk mengharmonikan suasana politik di Perlis yang disifatkannya sebagai agak panas dan bergelora.
Dalam kenyataan video yang dimuat naik di media sosial, Husna berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menganggap tawaran tersebut sebagai satu penghormatan.
“Saya juga faham dalam keadaan suasana politik di Negeri Perlis yang agak panas dan juga bergelora ini, ini adalah antara usaha YB untuk mengharmonikan keadaan kita dan saya yakin YAB sentiasa berusaha untuk memberikan penumpuan kepada kebajikan dan juga memberikan keutamaan kepada rakyat di Negeri Perlis ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak menerima pelantikan tersebut.
“Namun saya ingin memohon maaf kepada YB kerana saya terpaksa menolak tawaran jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis di atas sebab-sebab yang tak dapat saya kongsikan di sini,” katanya.
Secara zahir, penolakan itu mungkin hanya melibatkan satu jawatan pentadbiran. Namun dalam konteks politik semasa Perlis, ia sukar dipisahkan daripada perkembangan hubungan antara Pas dan Bersatu yang masih menjadi perhatian selepas beberapa siri pergolakan dalam kerajaan negeri sejak tahun lalu.
Lebih-lebih lagi apabila Husna sendiri mengaitkan pelantikan tersebut dengan usaha mengharmonikan keadaan politik, sekali gus memberi gambaran bahawa pelantikan berkenaan bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya mempunyai nilai simbolik dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua parti.
Walaupun beliau tidak mengkritik Menteri Besar mahupun Bersatu, keputusan menolak tawaran yang disifatkan sebagai satu penghormatan tetap mengundang persoalan dalam kalangan pemerhati politik mengenai sejauh mana usaha penyatuan tersebut diterima oleh semua pihak.
Perkembangan itu juga berlaku ketika kemelut berkaitan dakwaan kewujudan akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli masih belum benar-benar reda apabila pemimpin Pas dan Bersatu terus berbalas kenyataan mengenainya.
Dalam masa sama, landskap politik negara turut digegarkan dengan pertemuan membabitkan pimpinan Pas dan UMNO baru-baru ini yang mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan penjajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Walaupun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pertemuan tersebut sebagai pertemuan biasa, perkembangan itu tetap menjadi perhatian kerana berlaku ketika hubungan antara parti-parti dalam blok pembangkang sedang dinilai semula oleh pelbagai pihak.
Apa yang pasti, penolakan tawaran oleh Husna hadir pada waktu yang cukup sensitif. Ketika Pas dan Bersatu masih berusaha meredakan kesan beberapa episod politik yang berlaku sebelum ini, tindakan seorang pemimpin kanan Pas menolak pelantikan yang dikaitkan dengan usaha harmonisasi secara tidak langsung membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.
Mungkin ia sekadar keputusan peribadi seperti yang dinyatakan oleh Husna. Namun dalam politik, persepsi sering kali membawa makna yang lebih besar daripada tindakan itu sendiri.
Justeru, selagi persoalan berkaitan hubungan Pas dan Bersatu belum benar-benar terjawab, setiap perkembangan kecil termasuk pelantikan dan penolakan jawatan akan terus diperhatikan.
Dan dalam keadaan politik Perlis yang masih belum sepenuhnya tenang, penolakan tawaran SUA Menteri Besar oleh Husna dijangka terus menjadi bahan perbincangan mengenai tahap sebenar keharmonian antara Pas dan Bersatu di negeri ini.


